Home Berita PAS Pahang

Sembang Santai Jamuan Raya guru-guru PASTI mengimbau kisah silam

118
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 9 Mei ♦ Jasa dan pengorbanan guru-guru PASTI dalam mendidik anak-anak tidak boleh nafikan.

Di peringkat awal, bayaran elaun guru hanya RM50 sahaja tetapi masih boleh menginfakkan pula untuk keperluan pembelajaran anak-anak PASTI yang serba kekurangan ketika itu.

Namun mereka tidak pernah merungut kerana yang penting bagi mereka adalah dapat menaburkan bakti untuk melahirkan generasi yang benar-benar berjaya sebagai seorang muslim.

Begitulah perkongsian pengalaman oleh salah seorang guru PASTI Wan Zaleha Wan Osman 55, dalam program Sembang Santai Jamuan Raya yang diadakan di Pantai Balok di sini baru-baru ini.

Beliau telah berkhidmat selama 34 tahun dan kini telah memegang jawatan sebagai Guru Besar di PASTI Balok Pantai, Kuantan di samping menjadi Jurulatih Utama PASTI di peringkat Negeri Pahang.

“Pengalaman yang saya tidak boleh lupakan, bila kami menerima seramai 250 pelajar pada tahun 1990 dulu, disebabkan tertarik dengan seorang anak PASTI yang telah dapat membaca doa dengan lancar dan baik dalam satu majlis di tempat bapanya bekerja.

“Iklan yang ditunjukkan dari anak PASTI itu sendiri, dapat membaca doa dan mengaji al-Quran sangat dikagumi masyarakat ketika zaman 90an dulu,” tambah beliau.

Menurut beliau lagi, kelas-kelas PASTI di semua negeri terus bertambah dan kini PASTI telah diiktiraf oleh pelbagai pihak serta dianggap prasekolah berteraskan Islam yang terbaik di Malaysia.

Beliau seterusnya berharap agar guru-guru PASTI sentiasa bersabar sewaktu mengajar anak-anak PASTI kerana mereka ini umpama kain putih yang bersih dan kitalah yang mencorakkan mereka, sekiranya tersilap mencorak akan merosakkan masa depan mereka dan negara.

Program ini juga dihadiri oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota (DMPIM), Salwani Saleh yang telah memberi suntikan semangat kepada guru-guru PASTI supaya tidak merasa rendah diri dengan profesion sebagai guru PASTI kerana tugas mereka sangat mulia di sisi Allah SWT dan akan mendapat ganjaran yang sebaik-baiknya di akhirat kelak.

Seramai 44 orang guru-guru PASTI termasuk tiga orang pimpinan DMPIM telah hadir bagi memeriahkan lagi program ini.