Home Berita PAS Terengganu

75,000 Kenderaan dijangka guna LPT2 sempena Aidilfitri

40
SHARE

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu menjangka pertambahan luar biasa sehingga 75,000  kenderaan yang melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang tempoh musim perayaan Aidilfitri, bermula hari ini sehingga hari raya ketiga.

Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa berkata peningkatan tersebut dianggarkan lima hingga enam kali ganda dari tahun lepas.

“Pada tahun lepas lebih kurang 15,000 kenderaan yang melaluinya tetapi pada raya kali ini kita menjangkakan lebih kerana lencongan di Gua Musang, Kelantan.

“Kita anggarkan sehingga 75,000 kenderaan akan menggunakan LPT2 untuk pulang ke Terengganu dan Kelantan…satu peningkatan yang berganda dari tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar Ihya Ramadan anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam.

Menurut beliau, keadaan tersebut juga boleh menyebabkan kesesakan kenderaan terutama di jalan   Persekutuan dan negeri menuju ke Kelantan iaitu di daerah Setiu dan Besut.

“Kekuatan anggota mencukupi
dan bagi  memastikan kelancaran lalu lintas, hampir 300 anggota trafik akan ditugaskan khususnya di persimpangan lampu isyarat di daerah Setiu dan Besut,” katanya.

Justeru itu, Rohaimi mengingatkan kepada pengguna LPT2 terutama mereka dari luar yang ingin memasuki Terengganu lebih berhemah di musim perayaan ini termasuk merancang perjalanan masing-masing.

Tambahnya lagi, sebanyak 22 kawasan panas dijangka berlaku kesesakan dan 20 kawasan hitam sering terjadi kemalangan telah dikenal pasti di seluruh Terengganu dalam Op Selamat.