Home Berita PAS Terengganu

Gelandangan dikejutkan rezeki sahur

21
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seramai lebih 100 orang gelandangan dan pekerja syif malam mendapat manfaat melalui program kongsi rezeki oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Terengganu semalam.

Pegawai Media dan Tugas Khas PERKIM Terengganu, Amer Imran berkata, aktiviti santuni berbentuk agihan juadah sahur itu bermula sekitar Hentian Bas Kuala Terengganu.

Katanya, pihaknya mendapat makluman agak ramai golongan gelandangan yang berlindung di situ khususnya lewat malam.

“Menurutnya, program santuni gelandangan itu bermula pada 12 tengah malam hingga jam 3 pagi.

“Bungkusan makanan dan minuman untuk bersahur itu diagihkan kepada mereka yang ditemui, termasuk yang sudah tidur untuk berkongsi rezeki” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Tambah Amer, program amal itu telah menjadi aktiviti rutin PERKIM sejak tujuh tahun lalu sebagai tanda keprihatinan PERKIM kepada kelompok masyarakat yang tidak bernasib baik.

Beliau berkata, di samping memberi pendedahan kepada sukarelawan untuk terlibat dalam kerja-kerja kebajikan.

“Program itu anjuran bersama PERKIM Terengganu, kerjasama Kelab PERKIM UniSZA dan Majlis Belia PERKIM Terengganu.

“Agihan juga dilakukan kepada pekerja-pekerja yang bertugas larut malam dibeberapa lokasi kerja berdekatan.

“Program pada malam itu berakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebagai lokasi terakhir perkongsian juadah sahur,” jelasnya.

Menerusi program ini, pelbagai pengalaman berharga diraih khususnya di kalangan remaja Kelab PERKIM dan Majlis Belia dalam kesusahan hidup sebahagian masyarakat serta nilai keprihatinan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan.

“Pembabitan dan pendedahan tentang kesedaran tersebut secara tidak langsung dapat membentuk keperibadian dan nilai-nilai murni yang baik,” ujar Amer lagi.