Perbuatan mendedahkan keburukan perangai suami dan isteri di media sosial disifatkan sebagai satu perbuatan menyebabkan persepsi salah di kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam.
Pendakwah Bebas, Ustaz Mohd Fauzi Mustafa berkata, persepsi itu perlu diperbetulkan dengan cara tidak mendedahkan keburukan perangai mereka di media sosial.
“Sebagai contoh, perbalahan antara suami isteri dengan masing-masing mendedahkan keburukan peribadi lawan masing-masing secara terbuka di media sosial perlu dihentikan,
“Kerana mengundang persepsi buruk orang bukan Islam terhadap ajaran Islam itu sendiri,” katanya ketika menyampaikan Tazkirah Ramadan di Dataran Jambatan Angkat di sini.
Katanya, mutakhir ini banyak bergaduhan rumah tangga didedahkan di media sosial sehingga menyebabkan persepsi salah di kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam.
Katanya, orang bukan Islam menyifatkan apa yang didedahkan orang Islam di media sosial itu adalah sebahagian dari agama Islam.
Justeru katanya, masyarakat umat Islam perlu berhati-hati menggunakan media sosial untuk tujuan bukan mendedahkan keburukan rumahtangga dan peribadi masing-masing sehingga menimbulkan persepsi salah di kalangan orang bukan Islam.
Oleh itu katanya, mereka bertanggungjawab membetulkan persepsi salah orang bukan Islam terhadap Islam dengan menyatakan ajaran Islam sebenar kepada golongan tersebut dalam semua aspek termasuk dalam urusan rumah tangga.