Home Berita PAS Selangor

PAS Menghormati Pembinaan Rumah Ibadat Bukan Islam yang Teratur

396
SHARE

PAS Selangor kesal dengan laporan portal Malaysiakini di bawah tajuk “Quit politicising religion – politicians told” oleh Isbelle Long dan Nabila Shila.

Ia mahu menggambarkan seolah PAS bermain isu perbezaan agama kononnya untuk memperolehi sokongan politik dan mengaitkan ucapan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor di Parlimen baru-baru ini.
Ia mendakwa gesaan Dr. Ahmad Yunus agar pihak kerajaan tidak membina rumah ibadat bukan Islam berhampiran masjid sebagai bukti PAS memperalatkan agama untuk kepentingan politik.

PAS Selangor menganggap laporan ini cukup jahat dan malah Malaysiakini yang sesungguhnya cuba mempolitikkan kenyataan jujur seorang wakil rakyat yang dalam perbahasannya mahu melihat keharmonian kaum dikekalkan di Negeri Selangor dan bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali seterusnya ketegangan sesama rakyat berbilang agama dapat dielakkan.

Dr. Ahmad Yunus merujuk kepada cadangan pembinaan baru, yang melibatkan garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pihak perancang bandar di PBT, Jabatan Perancangan Negeri dan di Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan dengan gesaan agar sensitiviti masyarakat setempat sentiasa diambil kira.

Beliau dalam ucapannya pada 16 Mac 2023 di Parlimen membawa contoh sebuah tapak di sempadan kawasan beliau iaitu di Canary Garden, Bandar Bestari Klang, di bawah Majlis Perbandaran Klang dimana sebuah rumah ibadat bukan Islam sedang dibina tanpa kelulusan di tapak yang dikelilingi kampung Melayu Islam di Sijangkang, Kuala Langat.
Penduduk di perkampungan ini telah membuat bantahan kepada PBT dan beliau sendiri selaku wakil rakyat, kerana itu isu ini disuarakan di Parlimen untuk penyelesaian di pihak Kerajaan.

Untuk pengetahuan Malaysiakini dan pihak yang tidak bertanggungjawab menyerang PAS dalam isu ini, Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor menetapkan bahawa sebarang tapak rumah ibadat perlu diwartakan di bawah seksyen 62 Kanun Tanah Negara dan memperolehi Kebenaran Merancang dari PBT berkaitan, dalam kes ini tiada pewartawaan mahupun kelulusan diperolehi.

Manual yang sama juga menyebut, pembinaan rumah ibadat bukan Islam di Selangor hendaklah dibuat di kawasan taburan penduduk 5,000 penduduk untuk 1 tapak atau 2,600 penganut bagi 1 tapak. Di kawasan yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen Kuala Langat ini jelas bahawa tidak ada penduduk bukan Islam pun berhampiran kawasan berkenaan.

Memutarbelitkan kenyataan seorang wakil rakyat di Parlimen dengan niat jahat ini cukup dikesali. PAS tidak pernah ada masalah dengan rumah-rumah ibadat pelbagai agama termasuklah di Selangor yang sedia dibina sekian lama dan diterima masyarakat setempat sejak awal lagi.

Isu ini berbeza kerana ia melibatkan rumah ibadat bukan Islam yang baru, dan yang tidak mendapat kelulusan. Ia pula dibina di kawasan perkampungan Melayu Islam yang mendapat bantahan masyarakat setempat. Secara amnya mana-mana masyarakat tidak akan menyokong pembinaan rumah ibadat mana-mana agama sekalipun yang tidak memperolehi kebenaran pihak berkuasa tempatan dan negeri.

PAS Selangor berharap sebagai portal berita yang bertanggungjawab, Malaysiakini tidak menyalurkan maklumat yang tidak tepat yang tidak langsung membantu dalam pembinaan sebuah negara yang bersatu-padu dan masyarakatnya yang patuh serta taat pada undang-undang dan peraturan negeri dan negara.

ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Ahad 26 Mac 2023/ 4 Ramadan 1444