Minda Presiden PAS
[Bil: 16 / 2023]
APABILA PEMIMPIN TIDAK BERSIFAT ADIL
Pemimpin wajib bersifat adil atau ‘adalah (عدالة) mengikut takrif Islam iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul mengikut petunjuk Allah dan tidak bersifat fasiq. Fasiq adalah bermaksud melakukan dosa besar atau dosa kecil secara berterusan, serta tidak bermaruah tinggi, beriman, dan budiman.
Rasulullah SAW telah memberikan amaran bahawa akan berlaku perkara buruk kepada umatnya, khususnya apabila mereka melantik pemimpin daripada kalangan penipu dan pembohong kerana kedua-dua golongan itu bersifat fasiq. Dinyatakan dalam hadis Baginda SAW:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ.
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda, “Manusia akan berdepan tahun-tahun yang menggoda atau menipu. Pembohong dianggap benar, manakala orang yang benar dianggap bohong. Pengkhianat diberikan amanah, manakala orang yang benar-benar amanah pula dikhianati. Ruwaibidhah (orang-orang yang bebal) bercakap.”
Para sahabat meminta penjelasan dengan pertanyaan:
وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟
“Siapakah itu, al-Ruwaibidhah?”
Rasulullah SAW bersabda:
الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.
“Orang-orang yang jahil agama bercakap berkenaan perkara besar (perkara menyentuh soal kepentingan umat).” (Riwayat Ibn Majah no. 4036, Ahmad no. 7912, dan lain-lain dengan perbezaan lafaz dan sanad; hadis berstatus hasan)
Itulah ramalan yang benar daripada Rasulullah SAW, pilihan Allah SWT yang tidak bercakap mengikut hawa nafsu agar menjadi teladan kepada manusia dan membawa petunjuk daripada Allah SWT. Apa yang diucapkan ialah petunjuk Allah yang Maha Mengetahui, termasuk perkara yang akan berlaku bukan pada zamannya. Firman Allah SWT:
﴿وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ ٣ إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡيٞ يُوحَىٰ٤﴾
“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. (3) Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya). (4)” (Surah al-Najm: 3–4)
Hal ini termasuklah sabdanya yang berbeza daripada al-Quran. Wahyu yang diriwayatkan secara sanad yang sahih, menepati sabda Rasulullah SAW:
فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا خَرَجَ مِنِّي إِلَّا حَقٌّ.
“Demi Tuhan yang diriku berada dalam kuasa-Nya! Tidak keluar daripadaku (ucapan dan amalan), melainkan perkara yang benar.” (Riwayat Ahmad, no. 6510)
Semua ucapan dan perbuatan Rasulullah SAW dikawal oleh wahyu, sama ada diizinkan ataupun diperbetul jika berlaku sebarang kesilapan, kerana sifat maksum yang ada pada para anbiya’. Kesilapan pula berhikmah dan bertujuan bagi mendedahkan kelemahan manusia pada dirinya, lalu datang wahyu daripada Allah SWT untuk membetulkannya. Maka, para nabi tetap dikawal oleh Allah supaya menjadi teladan kepada seluruh manusia.
Adapun manusia selain rasul dan nabi, termasuk semua pemimpin yang dilantik oleh manusia sendiri, bahkan para ulama’; mereka dikawal oleh sifat taqwa, kematangan akal, ilmu yang bermanfaat, atau penasihat yang baik dan benar, bukannya dikawal oleh wahyu. Para ulama’ dan pemimpin wajib sentiasa bersikap waspada.
Para pemimpin wajib mendampingi kalangan penasihat yang baik dan benar. Mereka juga perlu berhati-hati apabila dipilih menjadi pemimpin kerana mereka tidak maksum seperti para rasul dan nabi.
Rasulullah SAW memberikan amaran bahawa sifat negatif akan berlaku kepada kalangan mereka yang bertaraf pemimpin yang telah dipilih oleh manusia. Kadang-kadang, ia berlaku tanpa disedari kerana ditutup oleh penipuan, khususnya pada zaman kini yang mengandungi banyak media fasiq yang menyebarkan maklumat salah sehingga memenuhi ufuk.
Kita sedang menyaksikan kebenaran ucapan Rasulullah SAW yang tidak boleh disamakan dengan ramalan manusia biasa.
Bahkan, kita juga sedang mengalami akibat pelantikan para pemimpin yang bersifat dengan pelbagai sifat yang dilarang oleh Rasulullah SAW iaitu melakukan pembohongan yang berulangan, penipuan yang kerap kali berlaku, dan janji yang tidak ditunaikan. Ada kalangan yang dinamakan ‘Amanah’, tetapi tidak bersifat amanah yang sebenar. Mereka melantik orang fasiq yang nyata sifat fasiqnya seperti pelantikan yang dilakukan melalui rasuah, janji manis yang menggoda, dan pelbagai lagi godaan yang menarik nafsu cinta akan dunia dan lupa akan akhirat.
Malaysiakini sedang menyaksikan pemberitaan yang menipu rakyat secara terus-menerus. Mereka menyampaikan propaganda yang menggoda rakyat supaya tidak berfikir dengan betul serta tidak melihat, membaca, dan mendengar dengan akal yang sihat dan bebas tanpa waswas syaitan.
Namun, keburukannya terdedah satu demi satu. Propaganda yang dilindungi bertopengkan warna-warni kata-kata yang indah dan menarik, supaya apa yang salah dianggap betul dan apa yang baik pula dianggap buruk. Demikian juga, perkara betul dianggap salah dan perkara buruk pula dilindungi keburukannya oleh pihak yang berkuasa. Firman Allah SWT:
﴿وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوّٗا شَيَٰطِينَ ٱلۡإِنسِ وَٱلۡجِنِّ يُوحِي بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضٖ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُۖ فَذَرۡهُمۡ وَمَا يَفۡتَرُونَ١١٢ وَلِتَصۡغَىٰٓ إِلَيۡهِ أَفْـِٔدَةُ ٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡأٓخِرَةِ وَلِيَرۡضَوۡهُ وَلِيَقۡتَرِفُواْ مَا هُم مُّقۡتَرِفُونَ١١٣﴾
“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (daripada kalangan) manusia dan (daripada kalangan) jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan. (112) Dan (juga) agar hati kecil orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat cenderung kepada bisikan itu, mereka merasa senang kepadanya dan supaya mereka mengerjakan apa yang mereka (syaitan) kerjakan. (113)” (Surah al-An‘am: 112–113)
Walaupun Nabi Muhammad SAW sudah wafat, namun ajaran dan petunjuk Baginda yang benar tetap berkekalan, maka penentangnya juga berkekalan. Al-Quran sebagai mukjizat ilmu yang kekal menyebutkan supaya berhati-hati menerima maklumat daripada kalangan media yang dikenali akan sifat fasiqnya. Firman Allah SWT:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ٦﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah ke atas suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu.” (Surah al-Hujurat: 6)
Cahaya Allah tidak mengizinkan semua manusia ditipu untuk selama-lamanya dengan berbagai-bagai topeng dan sandiwara. Tetap ada kalangan mereka yang berwaspada dalam menerima maklumat kerana perintah Allah tersebut, khususnya dalam kalangan generasi muda yang masih berakal dan memiliki iman dalam diri. Fitrahnya benci akan kemungkaran walaupun dikepung oleh pelbagai kemungkaran, laksana lautan luas yang tidak memasinkan ikan yang hidup walaupun jasadnya kecil. Merekalah yang disifatkan oleh Allah SWT dalam firman berikut:
﴿نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّۚ إِنَّهُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَٰهُمۡ هُدٗى١٣ وَرَبَطۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ إِذۡ قَامُواْ فَقَالُواْ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَن نَّدۡعُوَاْ مِن دُونِهِۦٓ إِلَٰهٗاۖ لَّقَدۡ قُلۡنَآ إِذٗا شَطَطًا١٤﴾
“Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya, mereka ialah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi pula untuk mereka petunjuk. (13) Dan Kami meneguhkan hati mereka pada waktu mereka berdiri, lalu mereka pun berkata, ‘Tuhan kami ialah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sesungguhnya, kami kalau demikian, telah mengucapkan perkataan yang amat jauh daripada kebenaran.’ (14)” (Surah al-Kahf: 13–14)
Mereka ialah kumpulan anak muda bangsawan yang tidak berpendidikan tinggi kerana pada zamannya tidak ada nabi yang muncul, malah golongan cerdik pandai yang baik pula dihapuskan. Akan tetapi, kumpulan pemuda itu berfikir dengan matang demi mencari kebenaran, maka Allah SWT memberikan hidayah kerana keikhlasan mereka mencari kebenaran.
Adapun golongan yang tidak ikhlas, mereka hanyalah semata-mata mencari kesenangan dan mengejar pangkat. Mereka tidak mendapat hidayah, walaupun berilmu dan berketurunan bangsawan.
Cerita al-Quran ialah peristiwa berulang yang kita saksikan kebenarannya yang berulang mengikut ketentuan Allah SWT, sekalipun mereka diperlekeh oleh kalangan yang sombong.
Kisah kumpulan pemuda beriman yang ditemani seekor anjing menunjukkan, ada anjing binatang yang lebih baik daripada manusia. Bahkan, lebih baik daripada golongan berilmu yang berjasad, tetapi hanya mencari makan bagi mengisi perut. Sehinggakan, kepentingan perut lebih diutamakan daripada akal walaupun berilmu. Firman Allah SWT:
﴿وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا ۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ ١٧٧﴾
“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya yang rendah. Maka, perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya, dia menghulurkan lidahnya, atau jika kamu membiarkannya, dia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177)” (Surah al-A‘raf: 175–177)
Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang nyata. Berlaku tindakan menyiasat, menahan, dan mengheret ke mahkamah sesiapa sahaja secara tergesa-gesa dan terpilih. Perkara ini berlaku disebabkan agenda politik bagi meneguhkan kuasa yang salah, bukan berkonsepkan keadilan yang wajib ditegakkan dengan proses yang betul tanpa gangguan yang salah.
Haram bertindak terhadap seseorang berpandukan berita tuduhan yang disiarkan dahulu melalui media, tanpa berhati-hati mengikut proses penyiasatan serta prosedur kehakiman yang betul dan beradab. Lebih malang lagi, apabila mereka sengaja mencipta tuduhan dengan pemberitaan yang penuh dengan putar belit fasiq dan fitnah, selain saksi yang dicipta bagi menjatuhkan sesiapa sahaja kerana alasan permusuhan. Firman Allah SWT:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)
Terang lagi bersuluh bahawa berlaku tindakan zalim dengan mengheret kalangan mereka yang dianggap lawan ke mahkamah secara terpilih, sehingga digali habis-habisan bagi mencipta kesalahan. Kemudiannya, mereka bertindak menghentikan perjalanan mahkamah terhadap kawan yang akrab atau penyokongnya, walaupun sudah layak diheret ke mahkamah dan sedang dalam proses perbicaraan mahkamah. Ketika dibawakan bukti secara bertali arus dan belum selesai proses perbicaraannya, tiba-tiba kes tersebut dihentikan.
Islam menggalakkan penyelesaian secara damai tanpa melalui prosedur mahkamah yang terdapat banyak syarat dan adabnya, supaya tidak terdedah kepada berlakunya kezaliman melainkan kalangan mereka yang dipelihara Allah dengan hidayah-Nya. Hanya perkara yang benar-benar layak dibawa ke mahkamah sahaja yang diambil tindakan kehakiman.
Kadang-kadang, nasihat yang benar dianggap salah kerana mempertahankan kezaliman yang nyata. Nasihat yang diberikan bagi membetulkan kesalahan dan menginsafkan golongan yang zalim adalah kewajipan orang-orang yang beriman, kerana firman Allah SWT:
﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾
“Dan hendaklah ada antara kalian satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf, dan mencegah daripada perkara yang mungkar; merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali ‘Imran: 104)
Khususnya, apabila perkara yang berkait dengan tugas melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi munkar menjadi suatu perkara larangan. Allah SWT melaknat kaum Bani Isra’il apabila mereka membunuh para anbiya’ dan ulama’ yang menegakkan kebenaran. Firman Allah SWT:
﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ٢١ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّٰصِرِينَ٢٢﴾
“Sesungguhnya, orang-orang yang melawan ayat-ayat Allah, membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan, dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka bahawa mereka akan menerima seksa yang pedih. (21) Mereka itu ialah orang-orang yang lenyap (pahala) amal-amalnya di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak memperoleh penolong. (22)” (Surah Ali ‘Imran: 21–22)
Semuanya boleh berlaku keburukan yang berpunca daripada pelantikan para pemimpin yang bersifat dengan perkara-perkara yang telah dinyatakan amarannya oleh Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW:
إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ.
“Apabila diserahkan urusan umat kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat keruntuhannya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 59)
Ibn Khaldun RH menegaskan bahawa masyarakat madani yang bercirikan kezaliman, maka kerajaannya sedang mengalami tanda-tanda akan ditamatkan ajalnya, bukannya tanda kekuatan.
Allah SWT menjanjikan kepada kaum yang ditindas pada zaman dahulu dengan kurniaan kemenangan, apabila yang zalim itu ditamatkan riwayatnya. Firman Allah SWT:
﴿وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى ٱلَّذِينَ ٱسۡتُضۡعِفُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَنَجۡعَلَهُمۡ أَئِمَّةٗ وَنَجۡعَلَهُمُ ٱلۡوَٰرِثِينَ٥﴾
“Dan Kami hendak memberikan kurniaan kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi).” (Surah al-Qasas: 5)
Si zalim itu tetap boleh ditamatkan riwayatnya, walaupun dia adalah seorang yang paling kaya dan kuat bala tenteranya. Demikianlah Allah SWT menjadikan kuasa memerintah negara sebagai satu ujian kepada manusia dalam kehidupan di alam dunia. Perkara ini selari dengan firman-Nya:
﴿تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ٢﴾
“Maha Suci Allah yang di tangan-Nya sahaja segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) (Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kalian, siapa antara kalian yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2)” (Surah al-Mulk: 1–2)
Ayat di atas menegaskan berkenaan golongan yang paling baik amalannya, bukannya mereka yang paling banyak amalannya dan paling banyak perbelanjaannya.
Allah SWT memberikan suatu teladan mengenai kerajaan bertamadun kebendaan yang fasiq dan zalim, apabila mereka dimusnahkan pada zaman dahulu. Ia menjadi pengajaran kepada generasi kemudian sepanjang zaman. Firman Allah SWT:
﴿أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ١٤﴾
“Apakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (6) (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7) Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain. (8) Dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9) Dan kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak). (10) Yang berbuat sewenang-wenangnya dalam negeri. (11) Lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu. (12) Oleh kerana itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab. (13) Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” (Surah al-Fajr: 6–14)
Maka, Allah SWT memerintahkan kita supaya menyelamatkan umat daripada bencana kezaliman sebagaimana firman-Nya:
﴿وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةٗ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةٗۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٢٥﴾
“Dan peliharalah diri kamu daripada bencana yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaan-Nya.” (Surah al-Anfal: 25)
Maka, hadis Rasulullah SAW mentafsirkan ayat di atas melalui sabdanya:
انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا.
“Tolonglah saudaramu yang zalim dan dizalimi.”
Seorang sahabat bertanya:
يَا رَسُولَ اللهِ، أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا، أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ؟
“Wahai Rasulullah! Aku menolongnya sekiranya dia dizalimi. Namun, apakah nasihatmu sekiranya dia berlaku zalim, bagaimanakah cara untuk menolongnya?”
Baginda bersabda:
تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنَ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ.
“Engkau menegahnya daripada berlaku zalim, itulah cara menolongnya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6952)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Sya‘ban 1444 / 18 Mac 2023