Oleh ASRENNA YUN
11 Mac 2023
KOTA BELUD: Ahli PAS diseru untuk mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dalam berpolitik.
Menurut Yang Dipertua PAS Kota Belud, Awang Laiman Ikin, ahli PAS harus tahu memposisikan diri dalam arena politik masa kini yang menunjukkan perubahan corak yang tidak menentu.
“Kita seharusnya tidak boleh terpengaruh dengan trend politik kotor seperti mengadu domba, menyebarkan provokasi dan membudayakan fitnah.
“Kita harus sedar dan muhasabah diri tujuan kita berpolitik iaitu untuk mewujudkan sebuah negara yang baik seperti yang disebut di dalam al-Quran,” ujarnya semasa Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kota Belud kali ke-35 di sini, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, negara yang disebut di dalam al-Quran itu ialah negara yang di dalamnya aman, damai dan kita dapat melaksanakan tuntutan-tuntutan agama Islam dalam keadaan yang selesa.
Turut hadir sama, Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohammad Aminuddin Aling bagi merasmikan mesyuarat tersebut.
Mesyuarat kali ini menyaksikan perubahan kepimpinan, Adzmin Awang telah dipilih sebagai Yang Dipertua PAS yang baru bagi sesi 2023/2025.