Home Berita PAS Pahang

Muslimat Bentong perkukuhkan tarbiah demi kekuatan jemaah

105
SHARE

Oleh : LEEZA ALRUM

BENTONG, 24 Feb :: “Tarbiah sangat penting kepada pendukung gerakan Islam kerana ianya sebagai benteng kekuatan kepada gerak kerja muslimat dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini. 

“Kegagalan ahli-ahli dan para pimpinan PAS di semua peringkat dalam mengikuti program tarbiah akan menyebabkan lumpuhnya jemaah dan berlakunya pelbagai konflik sesama ahli.”

Begitulah kata-kata Pengarah Pilihanraya Dewan Muslimat PAS Pusat, Noraini Hussain, ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Muslimat PAS Bentong baru-baru ini. 

“Tanpa tarbiah bukan saja melemahkan jemaah, bahkan boleh menyebabkan ahli termasuk dalam golongan orang-orang yang gugur di jalan dakwah dan akhirnya gagal untuk istiqamah meneruskan perjuangan Islam”, kata beliau lagi.

Beliau seterusnya mengharapkan agar muslimat sentiasa menghidupkan usrah dan memastikan jangan sampai ada cawangan yang mati tanpa usrah. 

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Bentong, Yusma Yusof yang telah terpilih sekali lagi untuk menerajui dewan tersebut bagi sesi 2023-2025 berkata, tanggungjawab yang telah diberikan oleh Allah SWT untuk perjuangan Islam perlu dipikul bersama oleh semua ahli. 

Beliau mengajak agar semua ahli dan Ahli Jawatankuasa PAS yang telah dilantik dapat mempertingkatkan diri demi mencapai sasaran gerak kerja yang disusun untuk sesi seterusnya. 

Tambah beliau, setiap gerak kerja yang dilakukan dengan niat kerana Allah sudah pasti dapat dilaksanakan dengan baik kerana usaha untuk mendapatkan reda Allah. 

Barisan pimpinan tertinggi muslimat Kawasan Bentong yang dipilih melalui mesyuarat agung tersebut ialah Yusma Yusof sebagai Ketua Muslimat, Nur Hafizah Jaafar sebagai Timbalan Ketua Muslimat, dan Liza Yusof sebagai Naib Ketua.

Sementara barisan ahli jawatan kuasa adalah Noraniza Mohd Jaafar, Zabedah Mohamad, Nur Hanani Mohd Khairuddin, Farahidayu Sulaiman, Farah Azline Zaharudin, Suryati Mansor, Nur Atikah Abu Bakar dan Zarina Puteh.