KUALA NERUS – Usaha kerajaan Terengganu menguatkuasakan etika pemakaian patuh syariah di negeri ini adalah untuk mengangkat martabat kaum wanita.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, oleh kerana itu usaha mendidik rakyat serta memperkenalkan pakaian yang benar-benar menutup aurat diadakan secara berterusan sekali gus membendung kesalahan jenayah syariah.
Katanya, setakat ini walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) telah meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan perkara tersebut namun tiada tindakan diambil sebelum ini kerana masih dalam proses mendidik sehingga rakyat di negeri ini mendapat kefahaman yang jelas.
“Setakat ini kita beri nasihat, nasihat disampaikan melalui penguatkuasa di majlis daerah perbandaran dan juga melalui pejabat agama dan daerah, insya-Allah telah tiba masanya kita bertegas dalam penguatkuasaan.
“Selama ini kita hanya mengambil tindakan meminta pihak polis dan penguatkuasa untuk memberikan nasihat-nasihat terakhir ketika diadakan operasi ‘Ops Bonceng’ pada Januari yang lalu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian, selepas menyempurnakan Sambutan ‘Terengganu Hijab Day’ di Dewan Perdana Komplekas Pentadbiran Al-Wathiqu Billah Shah, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Wanita negeri, Wan Nur Sakinah Din.
Menurut Hanafiah, Terengganu Hijab Day yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya adalah usaha berterusan dalam memperkenalkan pakaian mengikut syariat sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam.
“Bagi memastikan pakaian menutup aurat dan berhijab dengan tepat mesti melabuhkan sehingga ke bawah paras dada, yang ini kita beri didikan dari semasa ke semasa, apatah lagi wanita muda hari ini suka bergaya mengikut fesyen masing-masing.
“Jadi kita cuba kemukakan, bahawa inilah pakaian yang sebenar mengikut etika patuh syariah,” ujarnya lagi.