Home Berita PAS Terengganu

Tidak wajar ugut, halang ‘TikTokers’ bersuara

256
SHARE

MARANG – Pihak tertentu tidak sewajarnya menyalahguna kuasa dengan mengugut dan menghalang pengguna media sosial seperti TikTok daripada bersuara mengkritik kerajaan secara berfakta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tekanan politik kerana tidak berpihak kepada kerajaan sangat bercanggah dengan kebebasan bersuara yang sering dilaungkan dalam negara demokrasi.

Katanya, adalah tidak menjadi masalah jika kritikan yang diberikan bersifat jujur dan berfakta serta tidak melampau.

“Tidak ada apa-apa isu sebenarnya di kalangan ‘TikTokers’ ini, sekiranya ada tindakan perlu diambil mengikut saluran yang sepatutnya bukan dengan melakukan ugutan kepada mereka dan keluarga mereka.

“Mengugut, menghalang dan sebagainya itu merupakan cara lama pada tahun 70-an dahulu, ia tidak patut diamalkan pada zaman langit terbuka seperti sekarang ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan penyampaian baucer pakaian sekolah kepada 1,950 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, di Dewan Komuniti Kampung Medan Jaya, Rusila, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan beliau tidak faham dengan sikap pihak ahli-ahli politik pemerintah yang cuba memberikan tekanan kepada pengguna medium berkenaan.

“Saya ada mengikuti beberapa ‘TikTokers’ yang menerima ugutan, ‘harassment’ dan sebagainya, sedangkan apa yang mereka paparkan adalah secara berfakta sekiranya ada perkara-perkara dianggap mengancam keselamatan dan berbaur fitnah, kita ada undang-undang di peringkat negara.

“Jadi kenapa perlu buat ‘harassment’ dan ‘body shaming’ kepada ‘TikTokers’ ini. Saya menyeru kepada semua anggota lapisan masyarakat terutamanya pengguna TikTok, beranilah kerana benar dan itulah peranan mereka untuk membuat teguran dalam sesebuah negara dan negeri,” ujarnya lagi.