KUALA TERENGGANU – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai bakat terpendam dalam bidang perkayuan dan seni.
Tengku Zafrul berkata, ketika beliau dalam lawatan kerja di kediaman rasmi Ahmad Samsuri, Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu telah menunjukkan perabot yang dihasilkannya daripada barang terbuang.
“Saya baru tahu Menteri Besar Terengganu ini sebenarnya ada bakat terpendam.
“Kamu semua boleh tengok sendiri perabot yang beliau hasilkan daripada kayu terbuang dan pelbagai bahan lain.
“Bukan setakat perabot, lukisan pun ada. Kalau Dato’ Seri jual kerja tangan ini, mesti ramai nak beli,” ujar beliau teruja di Facebook rasminya sebentar tadi.
Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan beliau berada di Terengganu bagi meneruskan lawatan ke industri-industri tempatan.
Katanya, lawatan dimulakan dengan kunjungan hormat ke Seri Setia, kediaman rasmi Ahmad Samsuri.
“Kami telah membincangkan tentang hala tuju pembangunan industri tempatan bagi merancakkan sektor pelaburan di Terengganu,” katanya.