KUALA TERENGGANU – Fenomena air pasang besar dijangka berlaku sehingga Rabu ini dengan paras ombak boleh mencecah 2.7 sehingga 2.9 meter.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Mohd Rosman Abdullah menasihatkan penduduk di pesisir pantai dan kawasan rendah dinasihatkan berwaspada dengan Fenomena tersebut.
Katanya, keadaan hujan lebat yang berterusan dan air pasang besar boleh mengakibatkan limpahan air secara luar biasa di kawasan berisiko yang mudah dinaiki air.
“Orang ramai terutama penduduk di kawsan rendah diseru berada dalam siap siaga untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jika diarahkan pihak berkuasa.
“Kami khuatir sekiranya hujan lebat bertembung dengan air pasang besar yang lazimnya berlaku bermula 10 malam sehingga 1.30 pagi akan menyebabkan limpahan air.
“Selain itu orang ramai juga diminta agar menjauhi kawasan pesisir pantai semata-mata (mahu) melihat ombak besar,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau air pasang besar di Pantai Seberang Takir, di sini, malam kelmarin.