HULU TERENGGANU – Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihatkan untuk segera berpindah sekiranya trend paras air terus meningkat hari ini.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang, Hanafi Mohd berkata
berdasarkan cuaca semasa juga masyarakat terutamanya di kawasan rendah perlu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Pindah jangan tunggu saat akhir atau waktu gelap kerana akan menyukarkan operasi menyelamat dilakukan.
“Lebih baik pindah awal, jangan tunggu arahan pihak berkuasa baru kita nak bertindak. Fikirkan keselamatan ahli keluarga terutama musim cuti sekolah sudah bermula,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan jika keadaan semakin buruk dengan kekuatan anggota seramai 42 orang.
Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kampung mula dinaiki air dan ada jalan terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan.