Minda Presiden PAS
[Bil: 65 / 2022]
MAT KILAU YANG DILAKONKAN, CHIN PENG YANG DIDUKUNG
Filem Mat Kilau yang telah dilakonkan menceritakan kisah tokoh pahlawan Melayu Mat Kilau, iaitu seorang anggota pejuang mujahidin Orang Kaya Semantan, Dato’ Bahaman dan Dato’ Imam Rasul Indera Gajah yang berjuang di Pahang Darul Makmur. Mereka sekumpulan dengan Datuk Maharajalela, Datuk Sagur dan pengikut setia mereka yang sedikit jumlahnya di Perak Darul Ridzuan.
Lebih ramai masyarakat ketika itu hanya berpeluk tubuh sekadar menjadi penonton, malah sebahagian yang lain pula sanggup bersekongkol dengan penjajah semata-mata kerana mengejar pangkat dan harta sehingga sanggup menjual maruah agama dan bangsa.
Sedikit sebanyak cerita Mat Kilau itu telah mengoyakkan penutup yang selama ini disembunyikan perjuangan sebenar bangsa Melayu yang berwajah Islam dalam menentang penjajah. Wajah perjuangan Islam itu sengaja dihapuskan dengan alasan kerana mereka menentang pelaksanaan sistem cukai dan sebagainya. Adalah tidak masuk akal, mereka berjuang sehingga sanggup mati hanyalah semata-mata kerana bayaran cukai.
Saya sempat menemui beberapa individu daripada kalangan orang tua yang menyaksikan sendiri perjuangan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong sekitar tahun 1920-an di Terengganu yang ada kaitan dengan perjuangan yang sama, dan penubuhan Sarekat Islam untuk menentang Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Syarikat Hindia Timur Belanda yang membawa agenda penjajah melalui perdagangan.
Islam menjadi sasaran penjajah Barat. Kumpulan Islam yang mempelopori perjuangan kemerdekaan yang sebenar pula, sengaja ditutup dalam lipatan sejarah tanah air oleh ejen penjajah. Walaupun filem itu tidak dapat menceritakan sepenuhnya hakikat perjuangan kemerdekaan berwajah Islam yang melibatkan peranan ulama’ dan umara’ (raja-raja) yang mempertahankan Islam, namun sedikit sebanyak telah menampakkan cahaya Islam dalam penceritaannya yang ditutup rapi dalam lipatan sejarah yang telah diselewengkan.
Para penonton daripada kalangan generasi muda khususnya mendapat sedikit pencerahan, antara siapakah pejuang kemerdekaan yang sebenar dengan siapakah pengkhianat yang menjadi alat dan bersekongkol bersama penjajah?.
Cerita sebenar yang ditimbus dalam buku-buku penulisan sejarah yang mengelirukan perlu digali semula. Bahkan sudah terdapat beberapa kajian yang ikhlas mutakhir ini yang perlu dijadikan rujukan kajian supaya umat tidak ditipu berulang kali lagi.
Pada masa yang sama, terdengar suara desakan supaya abu mayat Chin Peng, bekas ketua Parti Komunis Malaya (PKM) dibawa pulang. Malah turut diadakan perhimpunan supaya mengiktiraf perjuangannya menjadi sebahagian daripada perjuangan kemerdekaan, walaupun ia adalah tempias pihak Komunis yang bergabung dengan penjajah Barat dalam Perang Dunia Kedua.
Sejarah ideologi komunis dan segala mazhabnya telah dibawa oleh Karl Marx, iaitu seorang Yahudi Zionis yang mencipta ideologi tersebut dengan tujuan untuk melaksanakan agenda Freemason bagi menguasai dunia melalui politik dan ekonomi oleh kaum Yahudi yang fanatik. Mereka bercita-cita untuk mengembalikan semula Empayar Nabi Sulaiman AS yang tiada kena-mengena dengan perjuangan Zionis.
Terdapat pula dalam kalangan umat Islam yang jahil agamanya, serta kalangan ilmuwan Islam yang cetek ilmu agama dan jahil politik, telah bersekongkol dengan pihak Komunis atas alasan menentang penjajah. Tidak sedar bahawa Komunis juga bersama penjajah dengan wajah yang baharu daripada arah kanan diubah ke arah kiri.
Allah SWT mendatangkan iktibar daripada kisah Bani Isra’il (bangsa Yahudi) yang pernah mengecewakan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang mengajak mereka untuk berjihad bagi membebaskan tanah suci Palestin daripada kaum Jabbarin yang zalim. Hal ini dijelaskan oleh firman-Nya:
يَٰقَوۡمِ ٱدۡخُلُواْ ٱلۡأَرۡضَ ٱلۡمُقَدَّسَةَ ٱلَّتِي كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمۡ وَلَا تَرۡتَدُّواْ عَلَىٰٓ أَدۡبَارِكُمۡ فَتَنقَلِبُواْ خَٰسِرِينَ٢١ قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّ فِيهَا قَوۡمٗا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَا حَتَّىٰ يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِن يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِنَّا دَٰخِلُونَ٢٢ قَالَ رَجُلَانِ مِنَ ٱلَّذِينَ يَخَافُونَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِمَا ٱدۡخُلُواْ عَلَيۡهِمُ ٱلۡبَابَ فَإِذَا دَخَلۡتُمُوهُ فَإِنَّكُمۡ غَٰلِبُونَۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٢٣ قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَآ أَبَدٗا مَّا دَامُواْ فِيهَا فَٱذۡهَبۡ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَٰتِلَآ إِنَّا هَٰهُنَا قَٰعِدُونَ٢٤ قَالَ رَبِّ إِنِّي لَآ أَمۡلِكُ إِلَّا نَفۡسِي وَأَخِيۖ فَٱفۡرُقۡ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ٢٥ قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيۡهِمۡۛ أَرۡبَعِينَ سَنَةٗۛ يَتِيهُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ فَلَا تَأۡسَ عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ٢٦
“(Musa berkata): ‘Wahai kaumku! Masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang beroleh kerugian.’ (21); Mereka berkata: ‘Wahai Musa! Sesungguhnya, dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar daripadanya. Jika mereka keluar daripadanya, pasti kami akan memasukinya.’ (22); Berkatalah dua orang antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah berikan ni‘mat ke atas kedua-duanya: ‘Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka apabila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.’ (23); Mereka berkata: ‘Wahai Musa! Kami sekali-kali tidak akan memasukinya buat selama-lamanya, selagi mereka ada dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini sahaja.’ (24); Berkata Musa: ‘Wahai Tuhanku! Aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasiq itu.’ (25); Allah berfirman: ‘(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama 40 tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan (sesat) di bumi (Padang Tiih) itu. Maka, janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasiq itu.’ (26)” (Surah al-Ma’idah: 21-26)
Hanya dua orang sahabat yang beriman iaitu Yusya‘ bin Nun dan Kalib bin Yufina sahaja yang mengajak mereka bersama Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS. Lalu, Musa AS bersedih lantas berdoa kepada Allah SWT, maka Allah menyesatkan mereka yang bacul selama 40 tahun.
Selepas itu, lahirnya generasi baharu yang menggantikan generasi yang pengecut. Allah SWT memberikan kemenangan dengan kejayaan membebaskan tanah suci Palestin yang ditegakkan hukum Allah (Taurat) yang berdaulat.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menunjukkan kebangkitan pengundi muda Melayu Islam yang melakukan perubahan secara demokrasi dengan semangat keris Mat Kilau sebagai seorang pahlawan yang menentang penjajah.
Namun, masih ada segelintir generasi daripada saluran satu yang sesat lebih setengah abad, walaupun mereka juga berlambangkan keris pahlawan Mat Kilau yang kemudian dilemparnya jauh pergi. Mata mereka telah dikaburi oleh abu mayat Chin Peng, seorang pahlawan komunis sehingga terikut-ikut dengan teori Machiavellianisme, ‘the ends justify the means.’ Teori ini disokong oleh golongan yang ditentang dan dimaki hamun sebelum ini, serta para profesor (ilmuwan) yang kecil akalnya, walaupun besar ilmunya.
Allah SWT tidak membiarkan secara percuma berlakunya segala perancangan yang salah serta penipuan terhadap agama dan bangsanya yang dizalimi. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:
ٱسۡتِكۡبَارٗا فِي ٱلۡأَرۡضِ وَمَكۡرَ ٱلسَّيِّيِٕۚ وَلَا يَحِيقُ ٱلۡمَكۡرُ ٱلسَّيِّئُ إِلَّا بِأَهۡلِهِۦۚ فَهَلۡ يَنظُرُونَ إِلَّا سُنَّتَ ٱلۡأَوَّلِينَۚ فَلَن تَجِدَ لِسُنَّتِ ٱللَّهِ تَبۡدِيلٗاۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّتِ ٱللَّهِ تَحۡوِيلًا٤٣ أَوَ لَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَيَنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ قَبۡلِهِمۡ وَكَانُوٓاْ أَشَدَّ مِنۡهُمۡ قُوَّةٗۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعۡجِزَهُۥ مِن شَيۡءٖ فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَلَا فِي ٱلۡأَرۡضِۚ إِنَّهُۥ كَانَ عَلِيمٗا قَدِيرٗا٤٤9
“Kerana kesombongan (mereka) di muka bumi dan kerana rencana (mereka) yang jahat. Rencana yang jahat itu tidak akan menimpa selain orang yang merencanakannya sendiri. Tiadalah yang mereka nanti-nantikan, melainkan (berlakunya) sunnah (Allah yang telah berlaku) kepada orang-orang yang terdahulu. Maka, sekali-kali kamu tidak akan mendapat penggantian bagi sunnah Allah, dan sekali-kali tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi sunnah Allah itu. (43); Dan apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka, sedangkan orang-orang itu adalah lebih besar kekuatannya daripada mereka? Dan tiada sesuatu pun yang dapat melemahkan Allah, baik di langit mahupun di bumi. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa. (44)” (Surah Fatir: 43-44)
Demikianlah amaran Allah SWT terhadap segala perancangan dan tipu daya yang salah dalam kehidupan manusia, khususnya perancangan yang dilakukan semata-mata bagi menghalang petunjuk Allah SWT dalam kehidupan dunia yang menjadi ujian kepada manusia.
Khususnya, ujian mendapat kuasa yang diamanahkan di alam dunia yang menjadi sebahagian daripada ujian Allah SWT. Firman Allah SWT:
تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ٢9
“Maha Suci Allah, yang di tangan-Nya itulah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); (Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2)” (Surah al-Mulk: 1-2)
Rasulullah SAW bersabda mentafsirkan ayat di atas:
إِنَّ اللهَ قَسَمَ بَيْنَكُمْ أَخْلَاقَكُمْ، كَمَا قَسَمَ بَيْنَكُمْ أَرْزَاقَكُمْ، وَإِنَّ اللهَ -عَزَّ وَجَلَّ- يُعْطِي الدُّنْيَا مَنْ يُحِبُّ وَمَنْ لَا يُحِبُّ، وَلَا يُعْطِي الدِّينَ إِلَّا لِمَنْ يُحِبُّ، فَمَنْ أَعْطَاهُ اللهُ الدِّينَ، فَقَدْ أَحَبَّهُ.
“Allah membahagikan dalam kalangan kamu akhlak (perangai) diri kamu, sepertimana Allah membahagikan rezeki dalam kalangan kamu. Allah memberikan habuan dunia kepada sesiapa yang Dia kasihi dan tidak kasihi. Namun, Allah tidak memberikan (petunjuk) agama (Islam) melainkan kepada sesiapa yang dikasihi-Nya. Maka, sesiapa yang Allah kurniakan petunjuk (Islam) kepadanya, ia menandakan dirinya dikasihi Allah.” (Riwayat al-Hakim, no. 3671, Ahmad no. 3672 dan al-Baihaqi no. 5136. Lafaz hadis oleh al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman)
Maka, di sinilah hikmah sebalik suruhan agar manusia berdoa memohon petunjuk Allah SWT dalam setiap rakaat solat, termasuk perintah oleh Rasulullah SAW sendiri. Hal ini adalah disebabkan terlalu takut dan berwaspada dalam ujian dunia ini.
Bukan sahaja mewajibkan kepada umatnya agar berdoa dalam setiap rakaat solat, bahkan Rasulullah SAW juga menjadi teladan dalam semua urusan dunia dan akhirat, khususnya urusan politik memerintah negara. Hal ini menunjukkan sifat istiqamah kepada petunjuk Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:
إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا١٠٥ وَٱسۡتَغۡفِرِ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورٗا رَّحِيمٗا١٠٦ وَلَا تُجَٰدِلۡ عَنِ ٱلَّذِينَ يَخۡتَانُونَ أَنفُسَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ خَوَّانًا أَثِيمٗا١٠٧9
“Sesungguhnya, Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat. (105); Dan mohonlah keampunan kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (106); Dan janganlah kamu berdebat (untuk membela) orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat, lagi bergelumang dengan dosa. (107)” (Surah al-Nisa’: 105-107)
Sirah Nabawiyyah meriwayatkan tentang sifat istiqamah Rasulullah SAW, apabila para pemimpin Musyrikin Makkah menawarkan kedudukan yang paling tinggi di Makkah sehingga tawaran untuk ditabalkan menjadi raja yang berkuasa mutlak atau dinamakan sebagai pemimpin dengan harta kekayaan yang sedia dikumpulkan.
Rasulullah SAW menegaskan kepada Abu Talib, bapa saudara kesayangannya yang diminta memujuk baginda, namun pendiriannya yang teguh tidak berganjak daripada perintah Allah SWT walau apa jua cabaran dan rintangannya.
Abu Talib pula yakin bahawa anak saudaranya, Nabi Muhammad SAW bercakap benar dan tidak pernah berbohong. Lalu, beliau mengumpulkan anggota keluarganya bagi mempertahankan Rasulullah SAW.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Jumadal Ula 1444 / 6 Disember 2022