Home Berita PAS Terengganu

DAP mempromosikan Islamofobia

34
SHARE

Demi kepentingan politiknya, DAP yang tidak beraqidah dan tidak bermoral mula menunjukkan belangnya secara terbuka dan rakus. Hal ini terserlah apabila mereka melakukan fitnah terhadap Islam dengan membaling batu di tengah khalayak pada waktu siang hari yang terang, khususnya terhadap Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

PAS menjadi sasarannya apabila melihat kemaraan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sehingga berjaya mencapai jumlah kerusi tertinggi dalam kalangan semua parti secara berasingan termasuk DAP dan semua parti yang menjadi alat DAP dalam Pakatan Harapan (PH). Mereka menjumlahkannya sekali untuk menampakkan mereka banyak, walaupun DAP menjadi kepala yang terlalu besar daripada jasadnya.

Pandangan para orientalis dan media Barat yang paling bermusuh serta berbohong terhadap Islam yang disebarkan di negara Barat telah diimport ke Malaysia oleh DAP, sehingga dilaporkan maklumat yang salah terhadap PAS. Tindakan ini secara halus boleh mengelirukan mereka yang tidak mengkaji Islam daripada sumber asalnya dan sejarah pelaksanaannya yang diterima tanpa sebarang paksaan.

DAP tidak mengambil iktibar walaupun beberapa ketika dahulu pernah berdialog bersama PAS secara langsung bagi menjelaskan banyak kekeliruan terhadap hukum Islam yang menjadi modal mereka bagi memburukkan Islam dengan nyata. Namun, jawapannya adalah semata-mata kepentingan politik cauvinisme yang sempit dan masih menjadi pegangannya, sekalipun ia turut mengancam kaum, bangsa dan agamanya sendiri yang berada di tengah-tengah masyarakat majmuk.

Kalangan yang bercakap tentang Melayu Islam terus dilabelkan bersifat perkauman. Mereka juga menggunakan Melayu yang bodoh dan Melayu liberal yang ditolak oleh Islam menjadi jurucakapnya. Strategi ini digerakkan secara wayang kulit dengan DAP menjadi dalang di belakangnya.

Hak beragama bukan Islam yang ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan dianggap tidak mencukupi dan zalim, laksana diberikan betis mahukan paha. Malah, hak berbahasa dan berbudaya yang diizinkan dalam perlembagaan dianggapnya tidak memadai. DAP terus bersikap melampau terhadap budaya umat Islam yang mahu dirosakkannya secara halus dan terancang.

Keganasan kaum yang berlaku seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat diredakan dan dipadamkan, serta berjaya diselamatkan keadaan masyarakat majmuk kerana ciri-ciri Islam yang masih ada dalam masyarakat Melayu Islam. Sehinggakan, keluarga kecil Cina dan India bukan Islam boleh hidup lebih aman di Kelantan, Terengganu dan Kedah (negeri kubu PAS), tetapi suasana itu laksana melepaskan anjing yang tersepit.

PAS dilabelkan laksana Taliban yang berperang dengan Amerika di Afghanistan, walhal Amerika telah menceroboh negara itu dengan ganas dan bertindak melampau melalui media Barat terhadap Taliban yang dizalimi, namun keadaan yang sebenar ditutup oleh DAP.

Hukum Islam hudud dan qisas terus menjadi modal mereka dengan penjelasan yang salah dan menyesatkan, semata-mata bagi memberikan suatu gambaran buruk terhadap Islam dan wajah PAS.

DAP memejamkan mata walaupun PAS mengamalkan konsep demokrasi dan pelaksanaan Islamnya mengikut prinsip dan konsep yang betul. Walaupun PAS sudah mengikut proses berdasarkan bidang kuasa federalisme, namun terpaksa bersabar dalam keadaan kerajaan pusat tidak menghormatinya terhadap kerajaan negeri PAS. Keadaan ini tidak berlaku seperti layanan terhadap Singapura yang diperintah oleh PAP bapa kandung kepada DAP, ketika mereka masih berada dalam Malaysia.

Apakah hak DAP untuk menegur kerajaan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang mengharamkan arak kepada penganut Islam sahaja dan diberikan kebebasan kepada bukan Islam? Adakah tindakan ini melampau?

Sebenarnya, DAP yang melampau, walaupun mereka cuba menipu dengan menampilkan ahli, calon dan pemimpin daripada wajah Melayu Islam. Namun, ia sekali-kali tidak boleh menghalalkan ideologinya yang bercanggah dengan Islam, laksana tidak boleh menghalalkan daging babi walaupun tukang masaknya berwajah Islam, berkopiah dan berserban.

Siapakah yang membawa cadangan supaya abu mayat mendiang Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia? Siapakah yang mengatur perjumpaan beramai-ramai supaya Parti Komunis Malaya yang diharamkan oleh agama Islam kerana ideologinya, dimasukkan dalam senarai perjuangan kemerdekaan? Semua itu dilakukan tanpa mempedulikan betapa ramai rakyat yang terkorban daripada kalangan tentera dan polis Melayu Islam, bukannya daripada kalangan askar British.

Sikap DAP terhadap kaum bumiputera bukan Islam diminta maaf, pada masa yang sama menyebarkan Islamofobia kepada mereka. Oleh itu, pada saat begini menunjukkan wajah DAP yang tersembunyi sebelum ini laksana hanya bertaubat saat terdesak.
Bangkai yang terlalu busuk itu tidak boleh ditutup oleh tangan DAP yang bergelumang dengan najis, walaupun mereka bertopengkan Melayu yang berwuduk dan disamaknya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Jumadal Ula 1444 / 28 November 2022