Home Berita PAS Sabah

Pilihan raya sewaktu musim banjir susahkan rakyat

197
SHARE

12 Oktober 2022
Oleh : Nursam Mohammad

PUTATAN: Rakyat bakal berdepan dengan kesusahan untuk mengundi sekiranya pilihan raya diadakan ketika bencana banjir sedang melanda.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kawasan Putatan, Amir Fadhli Razali berkata, ini berikutan pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

“Kita telahpun memasuki musim hujan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengeluarkan peringatan langkah berjaga-jaga.

“Keadaan hujan berterusan seminggu dua ini telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa daerah dan tidak terkecuali dalam parlimen Putatan ini,” ujarnya ketika mengagihkan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Sailan, di sini pada Selasa.

Menurutnya, sekali lagi penduduk kampung itu terpaksa menghadapi banjir seperti sebelum ini.

Beliau menambah, penduduk di situ menzahirkan rasa kerisauan sekiranya pilihan raya tetap diteruskan ketika banjir, pasti akan menyusahkan rakyat.

Amir turut mengingatkan agar semua penduduk melakukan persediaan menghadapi banjir dengan sentiasa mengikuti arahan-arahan pihak berkuasa.

Sementara itu, salah seorang mangsa banjir, Juanah Muhammad Dayan menceritakan detik sayu kerana tidak dapat menyelamatkan barang-barang mereka ketika rumah mereka mula dinaiki air.

“Hujan turun dengan lebat dan air banjir naik dengan cepat, saya tidak sempat selamatkan barang di rumah terutama pakaian dan barang sekolah anak saya.

“Anak saya ada mendapat biasiswa, tetapi pasti tidak mencukupi untuk membeli keperluan sekolah yang rosak akibat banjir,” ujarnya dengan nada sebak.

Amir turut memaklumkan, ketika agihan makanan kepada mangsa di kampung itu, ada sebahagian keluarga tidak dapat memasak akibat ruang rumah mereka ditenggelami air banjir.

“Usai agihan tersebut, pemuda PAS bersama penduduk kampung turut bergotong-royong membersihkan surau,” ujarnya.