Oleh: Siti Aisyah Abdullah
12 Oktober 2022
KOTA KINABALU: Anak muda khususnya di Sabah perlu ambil tahu dan berani membuat perubahan.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar, anak muda perlu ambil tahu krisis yang sedang berlaku di Malaysia misalnya krisis kesihatan, ekonomi dan pentadbiran.
“Saya berharap, anak muda bangun, ambil tahu dan berani membuat perubahan yang akan menjadikan Malaysia mampu melahirkan pakar-pakar yang meningkatkan potensi negara di mata dunia,” ujarnya semasa program Pentas Anak Muda Sabah, di Plaza Tanjung Aru, di sini pada Sabtu.
Nazir turut membangkitkan isu pada masa kini yang hangat diperkatakan iaitu ramai pelajar yang tidak mahu melanjutkan pelajaran.
“Ini kerana mereka menganggap hanya menggunakan telefon bimbit, mereka dapat menjadi jutawan, tetapi mereka lupa, hal ini akan menyebabkan negara ketandusan pakar-pakar,” ujarnya.
Tambahnya, perangkaan yang dikeluarkan melaporkan sebanyak 71.9% anak muda tidak mahu melanjutkan pelajaran akan mengakibatkan potensi negara ketinggalan jauh 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Saya hendak menegur sikap sebahagian anak muda yang tidak mahu ambil tahu tentang dunia politik negara dan menganggap politik sentiasa akan ada rasuah,” katanya.
Jelasnya, sehingga kini, PAS masih bersih daripada kes rasuah dan ini membuktikan bahawa politik itu bersih pada asalnya.