Home Berita PAS Terengganu

Pengujian paip selesai, jalan kembali sempurna

61
SHARE

MARANG – Kerja turapan kekal telah dimulakan di jalan raya di Kepong semalam setelah proses pengujian paip bawah tanah yang dipasang bagi meningkatkan perbekalan air di Marang selesai dilakukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, sebelum ini pengguna jalan raya sering mengadu jalan yang terbabit dengan kerja pemasangan paip itu tidak rata.

Katanya, apa yang dialami oleh pengguna jalan raya terutamanya penduduk sekitar hanya bersifat sementara bagi memperolehi manfaat lebih besar untuk jangka masa panjang.

“Sebagaimana prosedur biasa, selepas proses naik taraf atau paip dipasang, kontraktor akan melakukan proses pengujian sistem air, dalam masa yang sama jalan tidak diturap kekal kerana boleh memberi kesan kepada proses pengujian, ia memakan masa.

“Dalam tempoh inilah ia menimbulkan rungutan mengenai jalan, alhamdulillah apabila siap pengujian, turapan sebenar dan kekal dilakukan, selepas ini insya-Allah tidak akan berlaku lagi masalah dan jalan raya ini akan kembali seperti biasa dan kita juga akan dapat bekalan air yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di tapak projek berkenaan, di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Projek Konsortium KAJV Sdn Bhd, Ir Abdul Samad Sulaiman.

Dalam pada itu Ariffin berkata, tidak timbul isu jalan raya itu diturap dengan segera kerana semakin hampir dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

“Kalau kerana perkara tersebut sudah tentu kami akan mengarahkan kontraktor untuk melakukan penurapan secara kekal di semua lokasi terlibat, walaupun projek ini belum masak dan tanpa menjalani pengujian hanya semata-semata hendak puaskan hati semua pihak setelah menerima banyak rungutan, namun ia dilakukan mengikut prosedur sebab itu mengambil sedikit masa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ir Abdul Samad berkata, kerja penurapan yang bermula pada malam ini akan disiapkan dalam masa dua hari membabitkan jalan sepanjang 1.3 kilometer (KM).

“Untuk hari ini kita siapkan separuh dahulu 500 hingga 600 meter, malam esok bergantung keadan cuaca dan kita akan sambung untuk menyiapkan sejumlah lagi bakinya, kerana kerja yang melibatkan bahagian jalan ini hanya boleh dilakukan pada jam 10 malam ke atas.

“Apabila berlaku hujan lebat tidak dinafikan akan terganggu, tadi (semalam) pun berlaku hujan lebat tetapi alhamdulillah hanya sementara sahaja dan kita dapat meneruskan kerja ini,” ujarnya.

Beliau turut memberikan komitmen, kerja-kerja menaiktaraf perbekalan air marang itu akan dapat disiapkan tepat sebagaimana yang dijadualkan pada Disember.

“Kemudian projek pemasangan paip dari Sungai Rengas ke tangki Miel di mana airnya diambil dari Loji Kepong 2 dan dari Tangki air MIEL ke Gondang akan diserahkan segera kepada kerajaan negeri,” tegasnya.