Home Berita PAS Terengganu

Terengganu mahu tampil lebih garang SUKMA 2024

58
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu bertekad untuk tampil lebih garang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sekali gus merampas kembali kejuaraan kejohanan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, biarpun tidak bergelar juara keseluruhan, pencapaian kontinjen Terengganu pada penganjuran SUKMA XX MSN tetap menjadi kebanggaan.

Katanya, secara keseluruhannya pencapaian SUKMA kali ini lebih cemerlang daripada pencapaian terdahulu dan melepasi sasaran 57 emas.

“Kita berjaya dapatkan 64 emas. Manakala, sasaran 25 perak, kita dapat 49 dan daripada sebanyak 40 gangsa yang disasarkan, kita dapat 55 pingat.

“Selain itu, kita masih menguasai 10 sukan yang dipertandingkan berbanding negeri lain yang hanya menguasai tiga atau empat sukan sahaja,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman, semalam.

Jelasnya, sukan-sukan yang dikuasai Terengganu adalah Pelayaran, Pencak Silat, Angkat Berat, Tinju, Boling Padang, Tenis, Petanque, Sepak Takraw, Bola Sepak dan E-Sport.

“Johor menjadi juara dalam sukan kanu, olahraga dan berbasikal sahaja, manakala Wilayah Persekutuan hanya menguasai renang, gimnastik, muay thai, golf dan bola jaring.

“Ini menunjukkan kita masih lagi memilik penguasaan dalam sukan dan mampu memacu prestasi ini lebih jauh,” katanya.

Tambahnya, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan membuat ‘bedah siasat’ dan memulakan program Latihan SUKMA 2024 tidak lama lagi.

“Kita telah kenal pasti kategori sukan yang cemerlang, mencapai sasaran dan kurang cemerlang, jadi kita akan mengambil pendekatan segera menilai kelemahan atau meningkatkan prestasi sedia ada pada sukan-sukan ini,” katanya.