KUALA TERENGGANU – Terengganu, Kelantan dan negeri di utara Semenanjung dijangka dilanda ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dari 28 hingga 30 September ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata jangkaan itu diperoleh berdasarkan analisis Model Ramalan dan Penyelidikan Cuaca Met Malaysia (MET-WRF), Pusat Ramalan Cuaca Kadar Sederhana Eropah (ECMWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).
“Tiupan angin barat di rantau negara dijangka meningkat disebabkan Taufan Noru yang ketika ini berada di utara Filipina.
“Taufan Noru kemudian dijangka bergerak ke barat menuju Vietnam dan membentuk garis badai yang boleh mengakibatkan ribut petir bersama hujan lebat dan angin kencang di negeri utara Semenanjung termasuk Kelantan dan Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Justeru itu, beliau menasihatkan orang awam sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.