Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) merakamkan takziah kepada keluarga ulama tersohor dunia, Syeikh Dr Yusuf Abdullah al-Qaradawi yang telah menghembuskan nafas terakhirnya hari ini. Bagi DUPWP, pemergian Almarhum Syeikh Dr Yusof adalah kehilangan besar yang tiada penggantinya.
Semenjak sekian lama, Almarhum Syeikh menjadi rujukan seluruh umat Islam di dunia ini. Pandangannya begitu kontemporari, membumi, dekat dengan hati nurani, bernas dan mempunyai nas yang kukuh. Kitab-kitab karangannya menjadi bacaan di mimbar masjid, menjadi kajian dan rujukan akademik di universiti, menjadi pedoman ulamak dalam menjalankan sesuatu hukum. Kealiman dan kefaqihannya sukar ditandingi, malah beliau antara ulamak yang berani berfatwa dengan kaedah dan hukum yang berlainan dari ulamak lainnya.
Bahkan Almarhum syeikh juga menjadi idola umat Islam seluruh dunia. Pesona kepimpinan dan jihadnya sangat disegani musuh dan kawan. Perjuangannya cekal menentang sang tirani di Mesir bersama Ikhwanul Muslimin sehingga akhir hayatnya, sehingga beliau pernah dijatuhkan hukuman mati. Beliau berkhidmat untuk ummah penuh ikhlas melalui pena tulisannya yang tajam. Dalam usianya yang uzur itu, soal takut, bimbang dan tawaquf dari perjuangan tiada dalam tinta kamus hidupnya. Beliau berjuang dengan kata-kata dan tindakannya. Dirinya sepenuhnya diabadikan dengan dakwah, jihad dan ilmu.
Sesungguhnya kita semua mengerti bahawa kematian para ulamak tidak ada penggantinya, mereka pergi ke alam abadi dengan meninggalkan ilmu yang sukar diwarisi. Kini dunia Islam kehilangan sentuhan kepimpinan, nasihat, mutiara kata, dan peringatan dari tokoh pemikir, ilmuwan, dan ulamak paling disegani itu. Kami mendoakan semoga Allah meletakkan kedudukan almarhum Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi di tempat yang tertinggi bersama para Anbiya’, Siddiqin, Syuhada dan Solehin.
USTAZ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan