Home Berita PAS Sabah

PAS berusaha tingkatkan kualiti serta mutu pendidikan Islam di pedalaman Sabah

101
SHARE

Oleh : SITTI SAIDAH OSMAN
26 September 2022

KENINGAU : PAS bukan sahaja sebuah gerakan politik tetapi juga gerakan Islam yang mempunyai sistem pendidikan sendiri.

Naib Presiden parti itu, Senator Datuk Idris Ahmad mengingatkan PAS kawasan supaya berusaha meningkatkan kualiti serta mutu pendidikan Islam di pedalaman Sabah agar dapat menarik minat lebih ramai penduduk setempat untuk kenal dan cintakan Islam.

“PAS menyediakan sistem pendidikan bermula daripada pra-sekolah sehinggalah peringkat universiti.

“Pendidikan kepada masyarakat juga sentiasa diadakan secara berterusan melalui kuliah-kuliah agama untuk bantu masyarakat lebih memahami Islam,” ujarnya dalam Program Kupi-kupi bersama YB.

Program anjuran PAS Keningau itu menyasarkan para asatizah dan juga penduduk kampung sekitar yang diadakan di Sekolah Rendah Islam (SERI) Tahfiz Al-Ilmi baru-baru ini.

Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, beliau berasa bangga kerana PAS Keningau dapat membangunkan sekolah rendah Islam yang mempunyai blok bangunan sekolah sendiri walaupun berada di pedalaman Sabah.

Menurutnya, majoriti penduduk kawasan itu beragama Kristian namun sebagai parti gerakan Islam, PAS Keningau mampu memiliki kompleks pendidikan Islam seperti SERI Tahfiz Al-Ilmi dan berjaya menarik minat penduduk tempatan menghantar anak-anak mereka ke sekolah itu.

“Penyatuan masyarakat setempat boleh dilakukan dengan pendekatan melalui ilmu pendidikan Islam agar mereka lebih faham bahawa politik dalam gerakan Islam tidak boleh dipisahkan.

Sementara itu, beliau turut menegaskan PAS juga mempunyai Jabatan Amal Malaysia yang sentiasa menyantuni masyarakat setempat dengan menjalankan kerja-kerja kebajikan.