Home Berita PAS Terengganu

Moga Bob Lokman damai di sana

68
SHARE

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

“Assalamualaikum….Ana nok tinggal sikit wasiat ko anta…

Kalu taqdir ana sampai,

Ampunkan semua dosa ana,

Bagi peluang pada anak ana untuk mengaji sampai habis disitu ( an nur Setiu)

Dua orang anak ana ada orang bayarkan yuran, ana tak pasti siapa.

Amanee loni ana bayar ( selepas ini ada penaja) InsyaALLAH akan diteruskan oleh zaujah Ana.

Amanah seterusnya selepas hafazan ada pada Ustaz Nazri.

Terima kasih banyak kerana menjadi sahabat ana. Ana wakaf kan anak Ana untuk Islam. Tolong selalu ingatkan mereka pesanan Ana jangan jual ilmu agama. Cari duit dengan meniaga.”

Dua tahun lepas mesej pada aplikasi wassap itu menerjah skrin daripada insan yang aku sayangi dalam persahabatan dan gerakerja amal Islami. Hati berdebar dan adrenalin berombak kencang, mesej itu sangat serius dan tidak melambangkan abang Bob yang suka bergurau dengan aku ( termasuk membahan aku). Belasan tahun umur persahabatan kami , sudah seperti adik beradik, dia tahu titik kelemahan dan kelebihanku ,begitulah sebaliknya. Aku membahannya sesedap rasa dan ketawa berdekah,kepuasan . Kami akan berdamai dengan secangkir air minum yang pastinya aku akan membayar kos perdamaian.

Sebutlah nama- nama kedai popular di KL, nasi kelantan atau Pakistan. Kami makan untuk berukhuwwah dan bermesyuarat tak rasmi. Ideanya menggebu dan pandangan Abang Bob kadang unik, dia anak seni yang genius.

Wasiat itu bersambung lagi seperti cantuman mozek- mozek kehidupan, sepi dan suram , tawa dan canda ” enta batalkan kuliah atau program enta pada hari kematian ana, bantu uruskan jenazah ana” pintanya separuh serius.

” alaaaa..abang Bob ,apa laaa buat sedih macam ni” hati aku memberontak. Namun insan ini sentiasa akan beringat bab maut dan urusan kematian. Ada masanya bab mati menghentikan gelak tawa kami. Dalam hidup aku,dialah kawan yang paling banyak keluar masuk hospital, berurusan dengan doktor dan pakar perubatan.

” baru ini ana ingat , Ustaz Riduan ” pergi” dulu akibat kovid…Tuhan bagi lagi sedikit ruang untuk dia” dia mengulas soal hidup mati kami, hanya dalam pengetahuan Yang Esa. Kami berforum di Sebuah masjid di Besut. Khalayak menyeringai senyum setiap kali beliau memintal hujjah dan pandangan.

” ana rasa sedih Ustaz bila teringat pada Abang Bob,,walau baru sangat je kenal dia” tukas Ustaz Taufik yang merupakan Mudir Tahfiz an Nur Besut. Ya, sesiapa yang mengenali Abang Bob pasti akan merasa sedih apatah lagi warga an Nur Besut dan an Nur Setiu. Dia mengenderai kenderaan beratus kilometer semata-mata untuk memasak nasi maqlubah untuk warga tahfiz. Kadang , kondisi kesihatannya melemah,namun dia tetap tersenyum di Kompleks Tahfiz An Nur untuk menyediakan nasi arab maqlubah . Seronok dan rasa bahagia jika anak-anak tahfiz melahap air tangannya, ruang dapur tahfiz hingar bingar dengan usik mengusik. Kadang nasi maqlubah dimasak di rumahnya di Kubang Kerian ,dibawa untuk dijamu pada warga Tahfiz.

” hah,makan-makan, ” Abang Bob mempelawa makan dengan gaya khasnya, menelangkupkan periuk besar nasi maqlubah untuk menjamu dan memberikan senyuman kepada orang lain adalah wataknya. Bubur lambuknya popular dalam bulan Ramadhan, ribuan insan menikmati bubur lambuk sejak belasan tahun yang lepas. Kadang masakan itu beredar ke maahad atau sekolah Tahfiz. Bob obses mencari pahala melalui sedekah dan membuka ruang untuk orang lain bersedekah.

Dua tahun lepas, bila tahu abang Bob sakit dan akan menjalani pembedahan jantung, anak-anak Tahfiz an Nur Besut dan Setiu terus mengadakan solat hajat dan berdoa agar insan yang cakna pada anak-anak tahfiz ini dikurniakan kesembuhan . Dia mengusahakan mesin dobi pada an nur Setiu dan mengusahakan untuk membeli van untuk an Nur Besut ( jumlah dana belum mencukupi, masih dalam proses mengumpul dana). Dipelbagai tempat lain juga beliau membantu mengutip dana membina maahad,surau , membantu orang lain yang dihempap kesusahan maka tak pelik jika beliau disayangi oleh ramai insan lain.

Sosok anak seni,aktivis kemanusiaan yang juga pendakwah ini sentiasa dekat dihati kita. Para asatizah, alim ulama ,bahkan ilmuan Islam juga dimesrai oleh abang Bob. Beliau rapat dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz , almarhum Tuan Guru Dr Haron Din dan ulama yang lain, maka tak pelik jika ramai yang mendoakan beliau serta menghulurkan sumbangan apabila beliau dalam kejerihan.

Sakit atau sihat , abang Bob tetap menjadi perhatian masyarakat, teman-teman aktivis terus bercakap tentang Bob dan berita keuzuran anak seni ini dengan pantas berjangkit di alam siber. Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman bin Ahmad bin Yusuf al Kenali belasan tahun dahulu dengan nekad telah meninggalkan kerlipan industri hiburan dan menyertai PAS dalam himpunan 30k Pemuda Pas di Alor Setar. Anak seni dengan tarikan pesona yang besar ini tetap menggunguli pentas ceramah PAS serta pengisi program masjid surau,malah acara besar PAS ,namanya tetap dalam senarai papan carta utama. Dalam parti Islam, beliau beberapa sesi berada dalam Lajnah Kesenian Dan Kebudayaan. Ajaklah berprogram kemana sahaja walau terpaksa mengusung tangki oksigen, ke pulau-pulau terpencil , kawasan pedalaman, FELDA, FELCRA, dia tak serik kerana dirinya telah diwakafkan untuk perjuangan dan dakwah.

Mengendong tendensi dan bakat dibidang pengacaraan yang beliau puluhan tahun ceburi selamaa ini. Bob adalah alumni Maahad Hamidiah Kajang, pernah membesar di Pondok Tok kenali kubang kerian, juga merupakan cicit Tok Kenali dan cucu Tuan Guru Haji Ahmad Bangkok. Bakat berdakwah ada dalam darahnya dan beliau juga merupakan anak saudara almarhum ustaz Mawardi Ahmad, bekas ADUN Lundang. Menarik pula ,dia tak bercita-cita untuk menjadi anggota Legislatif atau berniat menjadi pimpinan. Gerakerja dipacu untuk meraih pahala dan menjaga keikhlasan .

Lelaki berpostur besar ini semenjak berhijrah daripada alam selebriti terus menjadi pentaksub ilmu, menghadiri majlis ilmu, berusrah serta turun menjelajahi negara untuk berkongsi pengalaman serta menitip nasihat buat anak muda. Bob Lokman juga berusaha untuk menarik kawan-kawan artis untuk kembali menghayati ajaran Islam seterusnya berhijrah ke alam fitrah. Rumah beliau di Sungai Buluh sering menjadi tempat berusrah kami serta majlis silaturrahim. Jika dibuat dilokasi selain rumahnya,maka tugasnya untuk memasak kepada majlis yang kami adakan dibawah Lujnah Kesenian. Kerana keuzurannya, maka sesi ini beliau tidak lagi berada didalam Lujnah Kesenian dan Kebudayaan ( LESTARI), namun kami sering menziarahi Bob. Bulan lepas ,Yantzen Rusty Blade menziarahi beliau usai pgram di Karnival LESTARI yang diadakan di Kompleks an Nur Besut.

Semenjak abang Bob jatuh sakit dan kadang kala kesihatannya merosot dengan teruk maka aktivitinya separa terhenti , ditambah dengan pandemik kovid. Beliau dan isteri sejak berpindah ke Kelantan daripada Sungai Buluh berniaga secara kecilan bagi menghidupkan dapur keluarga, tiga anak anaknya belajar di Tahfiz an Nur Setiu dengan penajaan yang diuruskan oleh Puan Fadhilah Mohd Nor ( beberapa orang sahabat menaja anak abang Bob). Musim pandemik yang mendunia ini sedikit sebanyak kondisi ekonomi juga terjejas . Kali terakhir aku menziarahi abang Bob, kondisi kesihatannya makin memburuk. Aku mengucup dahinya , kami saling bermaafan . ” tak tahu siapa pergi dulu bang” aku mengusik abang bob yang tak berenggang dengan alat bantuan oksigen. Dalam keadaan begitu lemah jasad pun,sempat menjamu aku dan rombongan dengan sarapan pagi, itulah Bob Lokman sang lagenda.

Hari ini Jumaat 23 September 2022, nadinya terhenti buat selama- lamanya. Kisah persahabatan kami di atas dunia berakhir sudah. Aku membatalkan kuliah di masjid Losong bagi melunaskan wasiat beliau. Berdesut ke Kota Bharu daripada pra himpunan Teguh Pertahan Terengganu, hati basah dan berselimut rawan namun aku pasti Bob Lokman mengutip banyak pahala diatas kerja dakwah dan kebajikan tanpa jemu beliau. Damailah Abang Bob, kami juga akan menyusulmu pada masa dan tarikh yang kami juga dirahsiakan oleh penggenggam Taqdir!

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)