KUALA TERENGGANU – Komuniti Pulau Redang dan Pulau Perhentian bakal menerima bekalan elektrik sepenuhnya selama 24 jam sehari menjelang tahun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah meluluskan cadangan system pembekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 6 Julai lalu.
“Akhirnya penantian penduduk dua pulau ini bakal tercapai apabila KeTSA telah meluluskan projek itu yang dijangka siap pada tahun 2025.
“Kita dimaklumkan terdapat beberapa kekangan projek itu tidak dapat disegerakan, termasuk kos projek yang terlalu tinggi kerana kabel fiber optik perlu melalui dasar laut sepanjang 21 kilometer di Pulau Perhentian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut berkata, kerajaan negeri cukup memahami situasi yang dialami pengguna terutama pengusaha hotel dan resort di kedua-dua pulau peranginan tersebut.
“Kita (kerajaan negeri) akan berusaha sedaya upaya bagi menyegerakan projek itu setelah hampir 20 tahun pihak berkaitan memohon sumber tenaga elektrik selama 24 jam,” ujarnya.
Cadangan di bawah Projek Pulau Tenaga Hijau itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun untuk memberi sumber bekalan tenaga hampir 600 pengguna domestik, 70 pengusaha hotel, resort dan chalet serta pengguna komersial seperti sekolah masjid, klinik dan kedai makan di sana.