Home Berita PAS Terengganu

‘Belum tiba masanya julang Piala’- Penyokong TFC

45
SHARE

KUALA TERENGGANU – “Jangan sedih, belum tiba masanya untuk Terengganu Football Club (TFC) menjulang piala, mara sehingga ke perlawanan akhir Piala FA telah menunjukkan suatu kejayaan yang membanggakan,” ujar penyokong TFC, Asrul Azani.

Menurut Asrul, 48, untuk melangkah sejauh itu bukan mudah.

Katanya, pasukan kesayangan ramai itu memliki kualiti tersendiri walaupun belum mampu menyaingi JDT.

“Sebelum ini kita dah berjaya tewaskan Negeri Sembilan, di separuh akhir kita telah pun menewaskan Selangor, kita berhadapan dengan pasukan lebih berpengalaman.

“Kekalahan ini kita terima dan kami sebagai penyokong akan terus memberikan sokongan padu dan mengharapkan agar prestasi akan terus dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa, kita akan buktikan untuk muncul sebagai tiga pasukan yang terbaik untuk layak ke piala AFC pada masa akan datang,” ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui ketika menyaksikan tayangan skrin berkenaan melalui skrin besar, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, kelmarin.

Katanya, adalah menjadi hasrat dirinya untuk menyaksikan perlawan berkenaan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) namun gagal mendapatkan tiket menyebabkan dia sekeluarga memilih untuk menyaksikan perlawanan itu menerusi skrin besar.

“Kalau kita tengok malam ini begitu ramai, kemeriahannya dapat dirasai, memang memberikan suatu suasana seperti berada di tempat perlawanan sebenar, kalah atau menang sudah menjadi adat perlawanan,” ujarnya.

Sementara itu seorang remaja, Zuhairi Zuhair. 15, berkata dia hadir ke program tayangan skrin besar itu bersama ayahnya.

“Saya tidak dapat ke SNBJ, ahli keluarga yang lain pergi dan telah mengajak saya untuk ke sana namun tidak berpeluang kerana perlu menghadiri ke program yang diadakan di sekolah.

“Saya bersemangat malam ini sepertimana penyokong yang lain untuk menyaksikan Terengganu dapat membawa pulang piala ini namun apakan daya, rezeki masih belum berpihak, semoga pasukan TFC akan terus membuat segala yang terbaik pada masa akan datang,” ujarnya yang datang dari Kampung Paloh.

Dalam pada itu, Azman Jusoh, 44, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyiarkan perlawanan itu menerusi tayangan perdana itu.

“Malah turut menyediakan hadiah cabutan bertuah, sebagai penyong TFC memang sedih kerana tidak dapat ke SNBJ namun dengan diadakan inisiatif ini saya beserta keluarga dan seluruh penyokong yang lain tetap merasai suasananya, walaupun kalah pada perlawaan ini kami akan tetap menjadi ekor sang penyu sampai bila-bila,”ujarnya.