Home Berita PAS Pahang

Allah beri Merdeka!

136
SHARE

Oleh SALWANI JUSOH

INDERA MAHKOTA, 30 Ogos : 40 orang pelajar PASTI Abu Bakar As-Siddiq, Bukit Gelugor, Beserah melaungkan “Allah beri merdeka!” sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-65 yang disambut meriah bersama barisan guru dan pengurusan pagi tadi.

Menurut Guru Besar PASTI berkenaan Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh, apabila ditanyakan soalan siapa yang memberi kemerdekaan kepada Malaysia?, secara spontan anak-anak itu melaungkan jawapan “Allah beri merdeka!”.

“Anak-anak PASTI ini telah diterapkan dengan akidah mengesakan Allah dalam setiap kejadian mahupun aktiviti seharian.

“Mereka diberi penjelasan bahawa kemerdekaan Malaysia diperolehi hasil dari keringat para pemimpin terdahulu yang tak jemu berusaha untuk mencapai kemerdekaan namun semuanya sebenarnya adalah dengan izin Allah,” kata Che Ku Shaherawati.

PASTI Abu Bakar As-Siddiq merupakan premis pembelajaran PASTI paling bongsu setakat ini di Indera Mahkota, lahir untuk memberi ilmu serta teladan suri kepada pelajar berusia 4 hingga 6 tahun.

“Kami masih baru dan bertatih dalam memberi yang terbaik buat anak-anak PASTI, dan kami banyak belajar dari PASTI lain di kawasan ini,” ujar beliau lagi.

Uniknya PASTI ini mempunyai 3 orang guru dan 5 orang petugas terdiri daripada kalangan ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan Beserah Tengah yang turun membantu pada hari-hari yang ditetapkan bagi melancarkan urusan guru dan pelajar setiap hari.