Oleh: KHAULAH AL AZWAR
BENTONG, 30 Ogos : Jelajah Keharmonian dan Townhall anjuran Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Negeri Pahang berlangsung dalam suasana mesra dan meriah bertempat di Tokong Guan Yin, Sg. Ruan, Raub, petang Sabtu lalu.
Ketibaan Pengerusi LPN PAS Pusat, Dr.Halimah Ali disambut meriah dengan hidangan tarian singa dan pukulan tabla serta iringan hentakan buluh sewang masyarakat Orang Asal di hadapan lebih 100 orang tetamu.
Dr Halimah didalam ucapannya menyebut tentang intisari perlembagaan PAS berpaksikan perlindungan masyarakat majmuk dan hak bukan lslam di negara ini dengan mengambil negeri Kelantan sebagai model terbaik sumber rujukan.
Wacana perlembagaan PAS telah dihurai dengan begitu baik sekali oleh Dr.Halimah dan ia telah dimanifestasikan melalui soalan-soalan yang diajukan ketika sesi townhall berlangsung dihadiri rakan-rakan berbangsa Cina, India dan Orang Asli.
Terdahulu, Pengerusi LPN Pahang, Khairuddin Abdullah di dalam ucapan aluannya berkata, Hari Keharmonian peringkat negeri Pahang yang julung kali diadakan ini bertujuan mendekati masyarakat setempat serta memahami budaya mereka.
Pelbagai acara menarik telah berlangsung melibatkan penyertaan daripada pelbagai kaum seperti pertandingan menyumpit, persembahan tabla, pertunjukkan silat, pertandingan mewarna dan sesi dialog awam atau townhall.
Turut hadir ialah Pengerusi LPN Raub, YM Tengku Shah Amir, Yang Dipertua PAS Raub, Dr. Nilam Abdul Manaf dan Pengerusi LPN Dewan Muslimat PAS Pahang, Maskhaliza Yusof.
Kelihatan hadir ialah wakil-wakil parti Bersatu, Fakulrulnizam lbrahim, parti Gerakan, Soh Siew Yong serta Chin Choy dan Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP), Yogendran A/L Apasamy.