KUALA TERENGGANU – Pensyarah sebuah universiti tempatan mendedahkan ramai anak muda yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) terlibat dalam aktiviti zina dengan merakam kegiatan itu dan menjualnya di portal tertentu.
Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dato’ Dr Izhar Ariff berkata, perkara itu perlu dipandang serius oleh semua pihak bagi menarik semula belia kembali ke pangkal jalan.
“Saya secara peribadi sedih dengan anak bangsa kita, hingga ada yang terlibat dengan masalah sosial. Lagi teruk sampai tahap rakam video lucah dan sebarkan.
“Ada yang menjualnya di pasaran gelap atau laman web privasi yang hanya boleh diakses oleh orang tertentu dan pembeli, perkara ini sangat serius,” katanya dalam Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) Bandar di Dataran Shahbandar, di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, solusi ampuh perlu dicari sebelum ia terus membarah dan merosakkan anak bangsa.
Katanya, antara usaha yang boleh dibuat ialah memasukkan elemen dakwah dalam seluruh program yang dilaksanakan.
“Dakwah yang dilakukan tidak boleh lagi dibuat secara formal (keras) atau terlalu ‘straight’, perlu ada cara kreatif untuk membuat minat mereka terhadap agama meningkat.
“Cara santai mampu menarik anak muda kembali beramal dengan syariat Islam. Terengganu sebuah negeri yang bagus, mereka (kerajaan) buat program mesti ada forum agama secara santai untuk tarik anak muda dekat dengan agama,” jelasnya.
Terdahulu, program anjuran kerajaan negeri mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran luar jangka.
Kemunculan Ustaz Azhar Idrus bersama selebriti, Zizan Razak selepas kali terakhir pada 2012 di Selangor dipuji rakyat kerana mampu menarik anak muda mendengar perkongsian dakwah santai.