Home Berita PAS Terengganu

‘Jadilah rider kental yang beriman’ – MB Terengganu

90
SHARE

KUALA NERUS – “Apabila pulang ke tempat masing-masing selepas ini, jadilah ‘rider’ yang kental, yang beriman serta jadilah anak-anak yang soleh dan solehah,” itu pesanan Menteri Besar Terengganu, Dato’Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada semua peserta Geng Y Mega Gathering 1.0 di Dataran Drawbrigde, semalam.

Ketika merasmikan penutupan program berkenaan petang ini, beliau turut menasihatkan para peminat hobi permotoran supaya menjaga beberapa perkara dalam melakukan hobi tersebut.

“Jaga solat lima waktu. Hendak konvoi ke mana sekalipun, apabila tiba waktu solat, berhenti untuk solat.

“Laksanakan kebaikan dan jauhi perbuatan yang mendekatkan diri kita dengan kemusnahan.

“Naik motor jaga keselamatan dan hormati pengguna jalanraya yang lain serta jaga keselamatan dan kesejahteraan diri sepanjang masa,” katanya.

Dr. Samsuri menyifatkan, sekiranya perkara-perkara itu dapat dipelihara, ia akan menjadikan hidup lebih tenteram dengan izin Allah SWT.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kerajaan negeri sentiasa komited menyokong program-program yang positif dalam membentuk peribadi anak-anak muda supaya sentiasa dalam akhlak terbaik dan terhindar daripada gejala tidak sihat.

“Yang penting, kita dapat berkumpul dengan suasana terbaik dan diberkati Allah SWT.

“Kerajaan negeri menyokong program sebegini dan kami komited untuk membantu, menyelaras serta menaja mana-mana yang sesuai,” katanya.

Geng Y Mega Gathering 1.0 mengumpulkan lebih 5,000 peminat hobi permotoran motosikal Y15 dan Y16 menerusi sekitar 100 kelab permotoran dari seluruh pelusuk negara.

Program selama tiga hari itu dipenuhi aktiviti keagamaan, permotoran,  kemasyarakatan yang menampilkan antaranya Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Haslin Baharin, Dr. Izhar Ariff dan Ustaz Abdullah Khairi.