MARANG – Kerjasama semua pihak dalam menjaga perairan di Terengganu mampu membawa kesan kepada peningkatan hasil perikanan di negeri itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri melalui kerjasama pihak-pihak berkaitan telah membangunkan pelbagai usaha untuk memperkaya hasil perikanan tempatan.
“Saya rasa menjadi tanggungjawab semua pihak, bukan sahaja agensi-agensi kerajaan dan kerajaan negeri semata-mata, tetapi termasuk pelancong dan nelayan untuk sama-sama menjaga perairan yang ada ini.
“Patuhi peraturan, jangan buang plastik dan sampah ke dalam laut, mengail hanya di tempat dibenarkan, itu antara perkara yang menjadi tanggungjawab semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan Majlis Melabuhkan Tukun Tiruan di Taman Laut Pulau Kapas, hari ini.
Jelasnya, kerjasama berterusan semua pihak akan memperlihatkan hasil lebih baik dari segi pembiakan ikan di negeri Terengganu.
“Hari ini,kita melabuhkan enam lagi tukun tiruan dari binaan konkrit sebagai tukun konservarsi untuk membantu mengekalkan spesies ikan dan kita berharap dengan usaha ini akan membolehkan ikan membiak serta berkembang dengan lebih terjamin.
Sebenarnya, apa yang dapat dilihat berdasarkan peningkatan sebanyak lima peratus kepada hasil tangkapan nelayan zon A yang kurang daripada lima batu nautika, ini satu peningkatan yang sangat menarik.
“Insya-Allah program ini akan diperluaskan dari masa ke masa meliputi seluruh perairan negeri,” katanya.
Sejak 2018, kerajaan negeri telah melabuhkan lebih 100 tukun tiruan di seluruh Terengganu melibatkan peruntukan kira-kira RM1.7 juta daripada kerajaan negeri.
Bagi tukun tiruan di Pulau Kapas hari ini, keseluruhan lapan tukun tiruan dilabuhkan melibatkan peruntukan sebanyak RM270 ribu daripada kerajaan Persekutuan.
Program berkenaan akan disusuli dengan 18 unit tukun penghalang pukat tunda yang djangka akan dilabuhkan pada September ini di Dungun dan Kemaman menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM500 ribu.