Oleh: Siti Aseelah Mohd Noor.
TELUK INTAN, 26 Jun : Jabatan Pilihanraya Kawasan (JPRK) Teluk Intan telah menganjurkan Himpunan Jentera Akifi peringkat Kawasan bertempat di Dewan Wak Johar, Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) di sini, semalam.
Program yang memfokuskan keterlibatan secara langsung Muslimat cawangan dan kawasan ini bertujuan untuk menyuntik kembali semangat yang kian pudar bagi berhadapan dengan pilihanraya umum tidak lama lagi.
“Muslimat perlu kuatkan kesabaran dan membina kekuatan pertahanan di Daerah masing-masing seterusnya menangkis dua musuh utama berupa nafsu dan syaitan maupun manusia,” kata Pengarah Pilihanraya Muslimat Perak, Salmah Latif ketika berucap dalam majlis tersebut.
Pelbagai teknik dan tatacara skrip perayu undi ditekankan kembali.
Menurut Pengarah JPRP Teluk Intan, Mohd Farid Mohd Saad berkata, kemampuan Muslimat dalam merayu undi tidak dapat dinafikan. Tambahan lagi bilangan pengundi kaum wanita Dun Changkat Jong N56 melebihi lelaki dengan 24,472 orang berbanding lelaki 23,544 orang.
“Antara KPI yang telah ditetapkan oleh JPRP Perak adalah untuk memastikan 50% kaum Melayu mengundi parti PAS. Disamping adanya sistem ‘telecula’ yang diperkenalkan, diharapkan ianya dapat menjimatkan masa serta memudahkan petugas bekerja,” tambahnya lagi.
Mengambil keberkatan Jumaat, penghulu segala hari, doa Wehdah dibacakan sebagai penutup program dengan berpegangan tangan tanda kesatuan dan berazam untuk bersama-sama memastikan kemenangan Dun Changkat Jong dalam pilihanraya 15 nanti.
Turut hadir, Ketua Muslimat, Robi’aton Mohd Abas, Ketua JPRK Muslimat merangkap Ahli Majlis Bandaran,Hamisah Abas,Setiausaha Muslimat,Saadah Abas serta ahli jawatankuasa yang lain.