KUALA TERENGGANU – Polis menahan pasangan suami isteri bagi membantu siasatan kes penipuan tempahan rumah inap desa (homestay) yang tidak wujud di daerah ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, pasangan warga tempatan berusia 27 dan 26 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Dungun semalam.
“Pada 3 Jun lalu, polis menerima satu laporan bersabit penipuan tawaran rumah inap desa yang tidak wujud.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Kuala Terengganu telah membuat serbuan di sebuah rumah di Dungun pada 8 Jun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut M Zamri, dalam serbuan terbabit pihak polis turut merampas telefon bimbit, kad mesin juruwang automatik (ATM), SD Microkad dan kad sim.
“Kedua-dua mereka yang tidak berkerja kini direman oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selama empat hari bermula hari ini,” katanya.