Home Berita PAS Terengganu

Terengganu FC II gagal raih mata

109
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu Football Club II (Terengganu FC II) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas tipis 0-1 kepada Kelantan FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), sebentar tadi.

Beraksi dalam hujan renyai, skuad kendalian Badrul Afzan Razali tewas hasil jaringan tunggal kapten Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani pada separuh masa pertama.

Perlawanan babak pertama bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati menyusun serangan.

Bagaimanapun, pelawat lebih banyak mengancam kubu tuan rumah dengan cubaan- cubaan merbahaya.

Pada minit ke-29, hantaran lintang pemain kelahiran Indonesia, Natanael Siringo Ringo berjaya disudahkan dengan ‘volley’ rendah Nurshamil untuk pelawat mendahului 1-0.

The Turtle cuba bangkit menyamakan kedudukan, namun pelawat lebih banyak menguasai bola dan melancarkan serangan.

Tiga minit kemudian, Kelantan FC hampir menambah jaringan berpunca dari hantaran lintang Natanael, tetapi penjaga gawang Terengganu FC II, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin berjaya menepis tandukan deras Syed Sobri Syed Mohd.

Situasi tuan rumah semakin parah apabila pertahanan, Argzim Redzovic dilayangkan kad merah pada minit ke-36 setelah menjatuhkan Natanael.

Kekurangan pemain memaksa anak-anak buah Badrul Afzan memperlahankan tempo permainan sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Terengganu FC II menyerang seawal permainan bagi menyamakan kedudukan sementara Kelantan FC pula lebih banyak melakukan serangan balas.

Pada minit ke-52, Kijang Emas berpeluang menambah jaringan apabila penyerang, Nixon Guylherme melepasi perangkap offside, tetapi Nasrulhaq berjaya menafikan peluang satu lawan satu itu.

Penjaga gol The Turtle itu terus menjadi nadi semangat pasukan apabila sekali lagi menyelamatkan rembatan Muhammad Farhan Roslan dalam situasi satu lawan satu lima minit kemudian.

Meskipun bermain dengan 10 pemain, tuan rumah menguasai sebahagian babak kedua dengan serangan bertalu-talu ke kubu pelawat.

Pada minit ke-82, Jordan Mintah nyaris meledak gol penyamaan hasil hantaran lintang Muhammad Muslihuddin ‘Atiq, tetapi berjaya ditepis Nik Mohd Amin Ahmad.

Terengganu terus buntu mencipta jaringan sehingga wisel penamat ditiupkan.

Kekalahan tersebut meletakkan Terengganu FC II kekal di tangga kelima liga dengan 10 mata.

Kelantan FC kekal di tangga kedua liga, namun berkongsi mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang dipisahkan dengan perbezaan jaringan.