Home Berita PAS Terengganu

Majlis hari raya DUN Kota Putera dapat sambutan luar biasa

155
SHARE

BESUT – Keceriaan 12 stesen makanan dan minuman dengan lebih daripada 20 menu disediakan, serta kehadiran 17 artis veteran lagenda tanah air berjaya menarik ribuan pengunjung untuk datang memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat DUN Kota Putera, semalam.

Adunnya,  Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata kebiasaannya menu majlis sambutan adalah gulai kawah, tetapi buat kali pertama ditampilkan kelainan untuk sambutan tahun ini dengan mempelbagaikan hidangan makanan dan minuman melalui kerjasama erat antara JPKK di DUN Kota Putera..

“Kerjasama antara JPKK dalam DUN Kota Putera memungkinkan kepelbagaian menu yang disediakan, antaranya gulai kawah, nasi dagang, ayam golek, kambing golek, laksa penang, laksa lemak, laksam, mee goreng kawah, sate, roti john, roti titab, 9 jenis air balang, dan tak lupa juga hidangan tidak asing untuk sambutan hari raya Aidilfitri seperti lemang, ketupat, rendang dan biskut raya.

“Kita juga membuat pertandingan stesen terbaik dimana pemenang akan mendapat hadiah wang tunai RM 1’000 yang dinilai dari segi hiasan stesen, hiasan hidangan, tema, keceriaan dan kelazatan, yang akan diberi markah oleh juri professional juga juri awam dari kalangan pengunjung. Ini bagi memberi semangat kepada setiap stesen memberikan yang terbaik kepada pengunjung. InshaAllah pemenang akan diumumkan malam ini atau esok.” tambahnya lagi.

Agihan duit raya juga diadakan pada pertengahan majlis bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan pengunjung mengambil peluang bergambar kenangan bersama-sama ADUN Kota Putera dan barisan artis veteran lagenda yang hadir.

Artis veteran lagenda yang hadir menyerikan majlis sambutan ini adalah dari Akademi Wan Maimunah and Friends (WMF) antaranya Ibu Wan Maimunah, Hamidah Wahab, Junainah M. Amin, Khatijah Abu Hasan, Rosnita Othman, Mariani Ahmad, Tini Dahlan, Zalifah Ibrahim, Rogayah Muhidin, Rozie Othman, Aznah Hamid, Siti Ruwiyani Ariffin, Nur Aisyah @ Magaret Gan, Rudi Pilus, Syed Aziz, Aju @ Zuraini Kassim dan Kak Ita.