Lebih 3,000 banjiri Rumah Terbuka PAS Bukit Gantang
6 MEI 2022 – JAUDIN M AMIN
BUKIT GANTANG : Sambutan Aidilfitri tahun ini diserikan lagi dengan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Bukit Gantang yang berlangsung meriah semalam.
Lebih 3,000 hadirin membanjiri perkarangan kediaman Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Idris Haji Ahmad di Kampung Sungai Petai, Changkat Jering, dekat sini mulai jam 2 petang.
Dalam ucapannya, Idris melafazkan kesyukuran kerana majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dapat dianjurkan semula berikutan kelonggaran yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.
“Alhamdulillah, dengan penganjuran Rumah Terbuka dapatlah kita bersua muka dan mengeratkan silaturrahim sesama kita. Namun begitu dalam kegembiraan meraikan Hari Raya, jangan mengabaikan soal kesihatan khususnya di tempat awam”, ujarnya.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak urusetia, dermawan dan sukarelawan di semua peringkat yang bertungkus-lumus menjayakan program kali ini.
Pelbagai juadah disediakan oleh Dewan Pemuda, Muslimat dan PAS Cawangan-cawangan seperti sate, lemang, ketupat, mee goreng, kuewtiau goreng, bihun sup dan kuih-muih.
Selain itu, pelbagai minuman panas dan sejuk, cendol dan aiskrim turut disajikan kepada para hadirin.
Kanak-kanak pula teruja menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh YB Datuk Haji Idris dan isterinya, Datin Hajjah Kamariah Mat Ali.
Turut hadir, Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Haji Rahim Ismail, Penghulu Mukim Bukit Gantang, Mustafa Kamal Zahari, Penghulu Kanan Mukim Taiping, Ahmad Asmadi Mat Salim dan Penyelaras Masjid-masjid Daerah Taiping, Mohd Azian Md Isa.
Turut serta, wakil Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, agensi-agensi kerajaan, parti-parti politik dan PAS Kawasan-kawasan.