Oleh : ROSLINA NOR
LUMUT, PAS Kawasan Lumut hari ini dengan jayanya telah menganjurkan aktiviti rutin tahunan PAS, Back To School (BTS) pagi tadi, di sini.
Penyerahan sumbangan ini telah berlangsung secara berperingkat di Pejabat PAS Kawasan Lumut bermula jam 9.00 pagi sehingga 12.30 tengahari diketuai Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Zaharah Husin.
Seramai 30 orang penerima termasuk lima orang daripadanya kaum India telah terpilih untuk menerima sumbangan berupa wang tunai serta beberapa kelengkapan persekolahan.
Dalam program tersebut Yang Dipertua PAS Kawasan Lumut, Rosli Abdul Rahman berkata, walaupun sesi persekolahan telah bermula, program ini tetap dilaksanakan untuk membantu ibubapa membeli keperluan tambahan buat anak-anak mereka.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JPKK) Kawasan Lumut yang berusaha mengesan penerima hari ini dari golongan yang memerlukan.
Seorang ibu tunggal kepada lima orang anak, Ku Haliza Ku Jiwa ketika ditemui, memanjat rasa syukur dan penghargaan kepada PAS Lumut atas sumbangan ini. Sumbangan ini katanya lagi amat bermakna dan dapat meringankan beban mereka sekeluarga.
Turut hadir Setiausaha PAS Lumut, Hamidun Ahmad, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Kamarul Nizam Majid dan JPKK Kampung Telaga Nenas, Sabarudin Abu Talib.