Home Berita PAS Terengganu

Ramadan merakamkan peristiwa Nuzul Al-Quran

116
SHARE

Minda Presiden PAS

RAMADAN MERAKAMKAN PERISTIWA NUZUL AL-QURAN

Firman Allah SWT:

﴿شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ…١٨٥﴾

“(Masa yang diwajibkan kalian berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dengan yang batil…” (Surah al-Baqarah: 185)

Allah SWT memilih berlakunya peristiwa besar iaitu penurunan al-Quran pada bulan Ramadan, satu peristiwa di alam ghaib yang wajib diimani. Seterusnya ia dibawa ke alam nyata dengan penurunan wahyu kepada Rasulullah SAW, yang disempurnakan dalam tempoh masa 23 tahun sehingga dapat dibaca dan dilihat akan kebenarannya.

Al-Quran ialah mukjizat (perkara luar biasa) yang menjadi tanda pelantikan bagi seseorang Rasul yang dipilih oleh Allah SWT sejak zaman-berzaman, khususnya bagi Rasul terakhir yang diberitahu dalam kitab suci semua agama, sama ada agama Samawi mahupun bukan agama Samawi. Beginilah ia diakui oleh semua ilmuwan perbandingan agama.

Mukjizat al-Quran bersifat ilmu, tidak sepertimana mukjizat para rasul terdahulu yang lebih bersifat perkara terbuka dan dapat dilihat pada zaman masing-masing. Contohnya seperti taufan pada zaman Nabi Nuh AS, ketahanan tidak hangus daripada dibakar api kepada Nabi Ibrahim AS, tongkat ajaib kepada Nabi Musa AS yang mengalahkan sihir kebanggaan Firaun dan lain-lain mukjizat yang dinyatakan semuanya dalam al-Quran dan kitab suci yang lain.

Mukjizat adalah hakikat yang benar-benar berlaku di alam nyata di luar kemampuan akal manusia. Sehinggakan, mereka yang menipu tidak mempunyai sebarang alasan, sama ada menyerah diri dengan menerimanya atau berdegil dengan menentangnya.

Al-Quran merupakan mukjizat ilmu dalam segala lapangan, termasuk yang bersifat saintifik mahupun tidak, bahkan disebutkan juga dalamnya ilmu sihir yang sesat dan diharamkan. Kenyataannya wajib benar dan hukumnya wajib adil kerana ia datang daripada ilmu Allah yang bersifat Maha Mengetahui, Maha Adil dan Maha Bijaksana, tiada bandingan dan tandingan.

Al-Quran adalah bersifat luar biasa, bukan sahaja penyusunannya dari segi bahasa dan sastera, bahkan dari segi kenyataan ilmunya. Bahkan, ia turut diakui oleh mereka yang paling ahli dalam segala lapangan, sama ilmuwan agama atau ilmuwan dunia.

Sehingga kini tidak terjawab oleh sesiapa terhadap amaran Allah SWT yang mencabar manusia dengan firman-Nya:

﴿وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ٢٤﴾

“Dan jika kalian (tetap) dalam keraguan tentang apa yang telah Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad SAW), maka buatlah dan datangkanlah satu surah seperti al-Quran itu, dan ajaklah orang-orang yang kalian percaya boleh menolong kalian selain daripada Allah, jika kalian orang-orang yang benar. (23); Maka, kalau kalian tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kalian tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kalian daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batu (berhala), yang disediakan untuk orang-orang kafir (yang ingkar tidak percaya). (24)” (Surah al-Baqarah: 23-24)

Al-Quran membetulkan aqidah beriman kepada Allah yang Maha Esa. Pada masa yang sama, menolak kepercayaan adanya tuhan selain daripadanya atau pegangan yang menolak adanya Tuhan (ateis).

Selain itu, al-Quran juga membetulkan kesesatan mereka yang menggunakan akal sahaja tanpa hidayah (petunjuk) daripada Allah yang Maha Penyayang. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ١ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ٢ لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ٣ وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ٤﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Tuhanku) Dialah Allah, Tuhan yang Maha Esa. (1); ‘Allah ialah Tuhan yang menjadi tempat bergantung bagi sekalian makhluk. (2); ‘Dia tiada beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan. (3); ‘Dan tiada satu apapun yang setara dengan-Nya.’ (4)” (Surah al-Ikhlas: 1-4)

Ayat di atas memberitahu adanya alam ghaib dan berlakunya Hari Kiamat, sekali gus menunjukkan banyak perkara yang berlaku di luar pengetahuan manusia dan kemampuan akalnya.

Banyak perkara yang tidak diketahui dahulunya dan apa-apa yang telah dinyatakan oleh al-Quran terbukti benar berlaku dan adanya. Contohnya, kisah umat pada zaman dahulu, kejadian bumi dan angkasa lepas yang menakjubkan semuanya benar, maka perkara yang ghaib dan peristiwa akan datang juga benar.

Firman Allah SWT:

﴿تِلۡكَ أُمَّةٞ قَدۡ خَلَتۡۖ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَلَكُم مَّا كَسَبۡتُمۡۖ وَلَا تُسۡ‍َٔلُونَ عَمَّا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ١٣٤﴾

“Mereka itu adalah satu umat yang telah berlalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kalian pula (balasan) apa yang kalian usahakan; dan kalian tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.” (Surah al-Baqarah: 134)

Dan firman Allah SWT:

﴿إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلۡفُلۡكِ ٱلَّتِي تَجۡرِي فِي ٱلۡبَحۡرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٖ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٖ وَتَصۡرِيفِ ٱلرِّيَٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلۡمُسَخَّرِ بَيۡنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَعۡقِلُونَ١٦٤﴾

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa apa yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia membiakkan di bumi itu daripada pelbagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) memikirkan.” (Surah al-Baqarah: 164)

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ يُغۡشِي ٱلَّيۡلَ ٱلنَّهَارَ يَطۡلُبُهُۥ حَثِيثٗا وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ وَٱلنُّجُومَ مُسَخَّرَٰتِۢ بِأَمۡرِهِۦٓۗ أَلَا لَهُ ٱلۡخَلۡقُ وَٱلۡأَمۡرُۗ تَبَارَكَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلۡعَٰلَمِينَ٥٤﴾

“Sesungguhnya Tuhan kalian ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas ‘Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbir sekalian alam.” (Surah al-A‘raf: 54)

Firman Allah SWT:

﴿لَا ٱلشَّمۡسُ يَنۢبَغِي لَهَآ أَن تُدۡرِكَ ٱلۡقَمَرَ وَلَا ٱلَّيۡلُ سَابِقُ ٱلنَّهَارِۚ وَكُلّٞ فِي فَلَكٖ يَسۡبَحُونَ٤٠﴾

“Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan, dan malam juga tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar pada garis peredarannya masing-masing.” (Surah Yasin: 40)

Apa-apa yang dihalalkan adalah baik dan apa-apa yang diharamkan itu akan membawa keburukan dan mendatangkan mudarat kepada kehidupan manusia dalam segala aspek kehidupannya. Hal ini selari dengan firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِيَّ ٱلۡأُمِّيَّ ٱلَّذِي يَجِدُونَهُۥ مَكۡتُوبًا عِندَهُمۡ فِي ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ يَأۡمُرُهُم بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَىٰهُمۡ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡخَبَٰٓئِثَ وَيَضَعُ عَنۡهُمۡ إِصۡرَهُمۡ وَٱلۡأَغۡلَٰلَ ٱلَّتِي كَانَتۡ عَلَيۡهِمۡۚ فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ مَعَهُۥٓ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٥٧﴾

“(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul (Muhammad SAW), Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka, orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Surah al-A‘raf: 157)

Firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَٰنِ وَإِيتَآيِٕ ذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَيَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡيِۚ يَعِظُكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ٩٠﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian berlaku adil dan berbuat kebajikan, serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia memberikan pengajaran kepada kalian, agar kalian dapat mengambil peringatan.” (Surah al-Nahl: 90)

Maka, semua petunjuk al-Quran dalam semua urusan kehidupan manusia yang ditetapkan oleh Allah SWT berada di alam bumi menjadi hamba-Nya yang beribadat dan mentadbir segala urusan-Nya adalah benar-benar membawa kebaikan kepada alam dunia.

Bermula daripada pembangunan diri masing-masing, keluarga dan masyarakat dengan peranan dalam segala aspek adalah menepati tujuannya yang sebenar mereka diciptakan. Melalui pendidikan diri, keluarga dan masyarakat dalam kegiatan yag berkaitan dengan memakmurkan bumi seperti politik, ekonomi dan lain-lain.

Islam mendahului penggubalan undang-undang negara dan antarabangsa, bahkan petunjuk al-Quran dijadikan rujukan dalam proses tersebut. Islam paling awal mendahului ilmu terkini dalam menegakkan konsep keadilan sejagat yang dibuktikan pelaksanaannya oleh Rasulullah SAW dan para khalifah Islam yang berpegang teguh dengan ajarannya.

Islam menegaskan konsep wasatiyyah yang membezakannya dengan konsep agama yang tidak mempedulikan urusan dunia dan sekularisme, iaitu fahaman yang memisahkan antara agama dengan akhlak daripada urusan dunia sehingga berpisah urusan jasad, roh dan akal yang ada dalam diri manusia. Perkara ini sekali gus membezakan Islam dengan teori liberal kapitalisme dan sosialisme dalam aspek keperluan ekonomi yang gagal menangani dengan adil dan saksama mengikut fitrah kepentingan diri dan masyarakat.

Al-Quran memuliakan akal manusia kurniaan Allah SWT dengan meletakkan sempadan kemampuannya dan menunjukkan kelemahannya, sama ada diberikan kebebasan kepada akal untuk berfikir mengikut kemampuannya dengan kebijaksanaan dan pengalaman hidup. Dalam perkara yang tidak semua diketahui oleh akal pula, maka al-Quran menyatakan dasar umum dan menegaskan sempadan yang tidak mampu difikir oleh akal dengan nas yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Antaranya seperti perkara yang ternyata halal dan haramnya atau hukuman yang ditetapkan seperti hudud dan qisas yang tiada penyelesaian yang lain. Antara yang menarik apabila penggubal undang-undang dan piagam antarabangsa menjadikan al-Quran sebagai rujukan terpenting kerana banyak perkara menunjukkan sejarah Islam mendahului Barat sehingga beberapa abad lamanya.

Kini, kita menyaksikan kemusnahan dan keruntuhan kehidupan manusia dari segi keamanan, keadilan dan alam sekitarnya apabila mereka mula meninggalkan petunjuk Allah SWT daripada al-Quran. Selari dengan firman Allah SWT:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan oleh apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan (akibat) perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)

Allah SWT memilih bulan Ramadan yang diwajibkan berpuasa ini diturunkan al-Quran ke alam dunia. Keadaan ini memberikan makna yang besar, betapa wajibnya manusia menerima al-Quran secara ibadat tanpa dipertikaikan sama ada mengetahui hikmah dan tujuannya atau tidak. Hal ini demikian kerana, al-Quran ialah petunjuk yang pasti membawa kebaikan kepada manusia. Firman Allah SWT:

﴿الٓمٓ١ ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ٢ ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ٣ وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ٤ أُوْلَٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدٗى مِّن رَّبِّهِمۡۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ٥﴾

“Alif, Laam, Miim. (1); Kitab al-Quran ini, tiada sebarang keraguan padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. (2); (Iaitu) orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (3); Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab al-Quran yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) Hari Akhirat (dengan sepenuhnya). (4); Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. (5)” (Surah al-Baqarah: 1-5)

Oleh itu, sifat taqwa yang menjadi tujuan puasa menjadi penentu kepada seseorang, sama ada dengan menerima al-Quran menjadi petunjuk seluruh perjalanan kehidupannya atau tidak.

Malah, perlu juga difahami bahawa petunjuk al-Quran tidak hanya membaca, menghafaz dan menulisnya sahaja, tetapi dibuktikan dengan amalan dan tindakannya secara faham dan nyata.

Rasulullah SAW memberikan suatu amaran melalui sabdanya:

يَخْرُجُ ‌فِي ‌آخِرِ ‌الزَّمَانِ ‌قَوْمٌ ‌أَحْدَاثُ ‌الْأَسْنَانِ، ‌سُفَهَاءُ ‌الْأَحْلَامِ، ‌يَقُولُونَ ‌مِنْ ‌خَيْرِ ‌قَوْلِ ‌النَّاسِ، ‌يَقْرَؤونَ ‌الْقُرْآنَ، ‌لَا ‌يُجَاوِزُ ‌تَرَاقِيَهُمْ، ‌يَمْرُقُونَ ‌مِنْ ‌الْإِسْلَامِ ‌كَمَا ‌يَمْرُقُ ‌السَّهْمُ ‌مِنْ ‌الرَّمِيَّةِ.

“Akan muncul dalam kalangan umatku kumpulan yang jahil akalnya hanya membaca serta bercakap dengan kata-kata yang terbaik (membaca al-Quran) tidak melebihi kerongkong (tidak masuk ke dalam hatinya); mereka keluar daripada ajaran Islam laksana anak panah yang keluar daripada sasarannya.” (Riwayat Ibn Majah 168)

Allah SWT membandingkan orang-orang Yahudi yang membaca kitab Taurat, tetapi tidak beramal dengan petunjuknya laksana keldai yang membawa kitab supaya menjadi pengajaran kepada umat Islam. Hal ini disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿مَثَلُ ٱلَّذِينَ حُمِّلُواْ ٱلتَّوۡرَىٰةَ ثُمَّ لَمۡ يَحۡمِلُوهَا كَمَثَلِ ٱلۡحِمَارِ يَحۡمِلُ أَسۡفَارَۢاۚ بِئۡسَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ٥﴾

“Bandingan orang-orang (Yahudi) yang dipertanggungjawab kepadanya Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruk bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu; dan (ingatlah), Allah tidak memberikan hidayah kepada kaum yang zalim.” (Surah al-Jumu‘ah: 5)

Begitulah Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW supaya beramal dengan hukum daripada al-Quran. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا١٠٥﴾

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah kamu menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’: 105)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 8 Ramadan 1443 / 10 April 2022