Minda Presiden PAS
PERANG UKRAINE MELAPUKKAN NEW WORLD ORDER
New World Order atau Tatanan Dunia Baharu diuar-uarkan, selepas berkecainya negara Kesatuan Soviet (Soviet Union) yang berideologi komunis pada abad yang lalu. Perkara tersebut menggembirakan blok Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat yang mendabik dada menjadi kuasa besar tunggal, laksana babi tunggal yang tiada pencabarnya.
Seterusnya, propaganda kebebasan serta hak asasi manusia yang berkonsepkan demokrasi dan liberalisme disebarkan ke seluruh dunia menjadi perjuangan dunia yang adil dan aman. Kononnya, pada abad ke-21 sudah tiada peperangan lagi sepertimana yang berlaku pada abad-abad sebelumnya, kerana sejarah dunia telah menimbus tamadun yang dikatakan sudah lapuk.
Tanpa mereka memandang langsung kepada isu Palestin yang sangat zalim, walhal tragedi itu telah berlalu lebih setengah abad dan masih berterusan hingga hari ini dengan lebih mengganas, menandakan betapa teori ini juga merupakan ciptaan Zionis. Betapa pula perang yang dilancarkan secara langsung dan secara perang proksi, ke atas negara-negara Islam Afghanistan, Iraq, Syria, Libya, Mali dan lain-lain, serta menyokong kalangan diktator di beberapa negara Islam bagi menutup pintu demokrasi kepada Islam dan para penganutnya.
Semua negara yang dianggap lemah dimasukkan ke dalam satu bakul dengan janji-janji manis seperti kebebasan dan kemajuan dalam dunia baharu yang berkeamanan dan berkeadilan. Sekiranya tidak masuk ke dalam bakulnya pasti akan dikacau dengan berbagai-bagai cara, bermula daripada kekacauan ekonomi sehinggalah mencetuskan peperangan bukannya keamanan.
Apa yang berlaku hanya indah khabar dari rupa sahaja, apabila masyarakat manusia yang berkonsepkan liberal menjadikan mereka lebih bebas daripada binatang yang tidak berakal. Hal ini demikian kerana, mereka boleh berkahwin sejenis dan menggalakkan amalan di luar tabii, bukan sahaja berpakaian dengan pakaian yang tidak bermoral. Mereka hanya merasa seronok sekejap, selepasnya menghidapi penyakit berat.
Lebih terdedah lagi, apabila konsep kolonialisme dan imperialisme yang pernah berlaku zalim terhadap umat manusia diaturkan semula dengan bentuk baharu melalui pengaruh politik, ekonomi, media sehingga ketenteraan secara globalisasi. Hal ini dilaksanakan agar seluruh negara dunia tunduk di bawah pengaruh dan kehendak kuasa tersebut.
Malah, sumber tenaga juga menjadi kawalannya termasuklah mata wang dolar diwajibkan menjadi sandaran dan cagaran. Selain itu, Bahasa Inggeris mahu dijadikan sebagai satu-satunya bahasa ilmu dan perantaraan. Bahkan, hanya media milik mereka sahaja yang benar dijadikan sebagai rujukan walaupun terdapat banyak pembohongan dan penipuannya.
Keadaan menjadi lebih tegang lagi apabila mereka mengasak ke dalam negara bekas Pakatan Warsaw yang dikuasai blok Timur dahulu yang disangka sudah mati. Namun, rupa-rupanya mereka hanyalah berpura-pura tidur, atau laksana pokok yang gugur daunnya di musim sejuk bersalji.
Hal ini jelas berlaku, apabila satu demi satu negara-negara itu diajak bersama dalam pakatan bawah nama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang bersifat ketenteraan dengan tujuan melakukan peperangan, bukannya untuk menjaga keamanan dunia.
Apabila mereka memasuki ke Ukraine dan menarik negara itu bersama dengan disalurkan bantuan bagi menyediakan segala bentuk senjata yang besar berteknologi tinggi setaraf dengan negara besar. Hal ini sangat penting supaya Ukraine menjadi benteng NATO di sebelah timur.
Langkah yang diambil itu telah membangkitkan kemarahan Rusia dan negara-negara bersamanya kerana perkara itu sudah menjadi ancaman di sempadan negaranya. Akan tetapi, masih terlalu awal untuk menunjukkan ancamannya apabila raja lawak dilantik dan dipergunakan menjadi ketua negara.
Rusia terus mengambil tindakan ketenteraan kerana telah diacukan senjata ke arahnya. Keadaan ini menjadikan Pakatan NATO terhegeh-hegeh kerana langkahnya yang sumbang telah terbongkar dengan tujuannya bukanlah untuk memelihara keamanan dan perdamaian dunia, sebaliknya untuk melebarkan perangai lama yang bernafsu penjajah itu.
Beberapa negara seperti Jerman, Belanda dan lain-lain melakukan muhasabah untuk bermufaraqah dengan ‘imam bagi jemaah’ New World Order yang paling cepat pergerakannya. Pada masa yang sama, mereka tidak berani untuk melawan Rusia dengan senjata canggih yang mereka miliki.
Melawan dengan berlindungkan senjata ekonomi yang kelihatan memakan diri, laksana meludah ke langit. Lalu, menggunakan benteng manusia telah menjadikan penduduk awam yang dihalang daripada menyelamatkan diri, supaya bersama dengan tentera Ukraine bagi mempertahankan bandar-bandar yang masih dikepung oleh tentera Rusia dan sekutunya.
Kemudiannya, menjadikan Rusia dalam keadaan sukar untuk meneruskan kemaraan kerana ramai orang awam yang menjadi mangsa. Walaupun mereka diberikan masa dan jalan keluar, namun mereka telah dihalang oleh satu dalang daripada keluar demi dijadikan sebagai benteng manusia.
Media Barat dan sekutunya pula menyebarkan propaganda bagi memenangkannya dan menyalahkan pihak lawan. Sekalipun ternyata mereka itu penakut dan malu dengan mundur ke belakang.
Adapun jumlah besar yang sudah ramai menjadi pelarian sehinggalah berjuta-juta jumlahnya diberikan layanan yang istimewa, apa yang tidak pernah diberikan kepada penduduk Palestin, Afghanistan, Iraq, Syria, Afrika dan lain-lain yang telah menjadi mangsa peperangan yang juga dicetuskan oleh mereka. Demikian itu, merupakan satu pendekatan yang berkonsepkan New World Order yang menandakan lapuknya mereka sepertimana zaman penjajahan pada abad pertengahan yang berada dalam lipatan sejarah, kini dibuka semula.
Negara haram Israel yang berkiblatkan ke arah Barat dalam keadaan tidak menentu pendiriannya, begitu juga negara yang dijanjikan dengan perlindungan ketenteraan dalam keadaan serba salah apabila Ukraine dibiarkan tanpa sama ikut sama berperang. Akan tetapi, mereka sekadar memberikan sokongan moral daripada jauh dan sokongan kewangan dalam keadaan terkepung dari segenap penjuru.
Alasannya, hanyalah takut jika ia akan meletuskan Perang Dunia Ketiga yang paling dahsyat. Sebenarnya, kelalaian mereka dengan nafsu menjajah yang sangat rakus sehingga menyebabkan mereka terjerumus, laksana kalau rumah berdinding kaca, janganlah mengacau orang yang membalingnya dengan batu.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 20 Sya‘ban 1443 / 23 Mac 2022