Home Berita PAS Terengganu

Buka Sempadan : Sultan Mizan syor kerajaan laksana kajian impak

53
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengesyorkan supaya kerajaan negeri melaksanakan satu kajian impak untuk Negeri Terengganu dengan mengambil kira persekitaran global.

Titah baginda, kajian impak itu termasuk kesan langsung terhadap sektor-sektor penting ekonomi negeri seperti perkhidmatan dan pelancongan, apabila sempadan negara dibuka semula nanti.

“Kajian impak perlu mengenalpasti bukan sahaja kesan ke atas pembangunan Negeri Terengganu malah menghasilkan cadangan khusus bagi mengurangkan impak langsung ke atas isi rumah yang berpendapatan Rendah B40 dan berpendapatan sederhana M40,” titah Sultan Mizan.

Titah ucapan baginda dibaca Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sultan Mizan bertitah, kedua-dua golongan tersebut sudah terkesan dan terbeban dengan harga barangan khasnya makanan, yang meningkat dan kesan sampingan ke atas punca pendapatan ekoran penularan wabak COVID-19.

“Misalnya, data terkini merekodkan terdapat 985 orang golongan miskin tegar dan 26,526 orang golongan miskin di Terengganu yang memerlukan perhatian daripada semua pihak,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan keyakinan, kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk membantu golongan lemah dan terkesan.

Terdahulu, baginda bertitah Bank Dunia dalam satu laporannya pada Januari lalu telah membuat unjuran bahawa ekonomi dunia dijangka masih berkembang secara positif untuk tahun 2022.

“Walaubagaimanapun, perkembangan ekonomi dunia ini dijangka menunjukkan trend atau arah aliran yang menurun iaitu pada kadar  (5.5 peratus) pada tahun 2021, (4.1 peratus) pada tahun 2022 dan (3.2 peratus) pada tahun 2023.

“Trend penurunan dijangka berlaku ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia yang bakal menyebabkan banyak negara terkesan khasnya negara-negara membangun seperti Malaysia.

“Perbelanjaan kerajaan dan penggubalan dasar kewangan di negara-negara ini memerlukan pemikiran yang segar dan pendekatan yang berbeza kerana kita kini berada dalam satu keadaan yang belum pernah kita hadapi sebelum ini,” titah baginda.

Baginda bertitah, peperangan yang berlaku berikutan serangan tentera Rusia ke atas Ukraine akan mendatangkan impak yang sangat teruk kepada ekonomi dunia dan sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negara Rusia  turut menyebabkan harga komoditi di pasaran dunia seperti bahan api, dan bahan makanan seperti gandum dan jagung meningkat.

Titah baginda, peningkatan  harga bahan mentah makanan seperti gandum dan bijirin lain seperti jagung turut akan mendatangkan kesan langsung kepada harga bahan makanan tempatan dan hal ini perlu ditangani.