Home Berita PAS Terengganu

Waspada hadapi kemungkinan banjir kilat akibat peralihan monsun

70
SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 Februari- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan orang ramai terutama yang tinggal di kawasan rendah supaya peka, berwaspada dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat susulan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula pada semalam sehingga pertengahan Mei ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Md. Nasir Md. Noh berkata, kejadian ribut petir dijangka berlaku dan lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

Katanya, situasi itu boleh meningkatkan kejadian banjir kilat dan sangat bergantung kepada keupayaan sungai, sistem saliran, kolam takungan, pintu air, rumah pam, pam mudah alih dan lain-lain infrastruktur banjir sedia ada.

“Orang ramai terutama penduduk yang berada di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan sentiasa peka, berwaspada dan bersiap sedia.

“Orang ramai juga diingatkan tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga persekitaran supaya aliran sungai tidak terhalang,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai persiapan, Md. Nasir berkata, JPS sentiasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan semua infrastruktur berkenaan secara berkala supaya berfungsi dengan baik termasuk ban dan tebing sungai yang dipantau rapi untuk memastikan tindakan serta-merta dilaksanakan apabila berlakunya kejadian ban pecah atau tebing runtuh.

Menurutnya, JPS turut melaksanakan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang kini telah beroperasi penuh di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Maklumat lanjut mengenai hebahan amaran banjir, status aras air sungai dan kelebatan hujan di seluruh Malaysia boleh dilayari melalui laman sesawang Public Infobanjir iaitu https://publicinfobanjir.water.gov.my atau memuat turun aplikasi mobile apps, MyPublicInfoBanjir.