HULU TERENGGANU, 28 Februari- Seramai 160 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Agama Mahmudiah (SMA Mahmudiah) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Imtiaz yang menginap di asrama terpaksa dipindahkan menggunakan bot selepas sekolah dinaiki air lebih dua meter semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata, operasi menyelamat telah digerakkan dengan dua bot dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Wakaf Tapai serta bot pihak badan bukan kerajaan (NGO).
“Dalam tempoh sejam sahaja air naik dengan sangat cepat sehingga ke bumbung, jadi pelajar ini dipindahkan segera ke tempat selamat,” katanya malam tadi.
Sementara itu, Pengetua SMA Mahmudiah, Mazelin Ali berkata, calon SPM itu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Daerah Kuala Berang, Hulu Terengganu bermula jam 4 petang hari ini menggunakan bot anggota penyelamat.
“Jika mereka tidak dipindahkan segera kami khuatir air semakin naik ke beberapa blok lagi, kini asrama perempuan, dewan makan dan blok kelas sudah dinaiki air banjir.
Katanya, langkah segera itu terpaksa dilakukan bagi memastikan keselamatan pelajar selain persediaan dan keselesaan menjelang peperiksaan yang bakal bermula Rabu ini.