Home Berita PAS Terengganu

Rakyat puji kesungguhan kerajaan tegakkan syiar islam

76
SHARE

KUALA TERENGGANU – Usaha kerajaan membangunkan rakyat berlandaskan agama Islam mendapat pujian ramai pihak termasuk masyarakat di negeri ini.

Bibi Izzati Nadia Kama, 30, berkata inisiatif kerajaan Terengganu mengadakan program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) menjadi bukti kesungguhan pentadbiran hari ini meletakkan Islam sebagai teras utama untuk menjadikan negeri ini makmur dan sejahtera.

“Konsep kemajuan yang saya faham bukannya dengan mendirikan bangunan yang tinggi, hebat dan tersergam indah sebagaimana segelintir mereka yang beranggapan bahawa apabila disebut maju ia mesti dilihat dari sudut berkenaan, kadang kala ia boleh menjadi sebuah pembangunan yang hanya membazirkan sedangkan rakyat masih hidup dalam keadaan mengalami kemiskinan kerana nasibnya tidak terbela.

“Bahkan membawa kepada kemiskinan jiwa yang akan mendorong berlakunya perkara-perkara yang meruntuhkan moral dan akhlak seperti jenayah, maksiat dan sebagainya apabila tidak diberikan perhatian daripada sudut kerohanian hanya bertunjangkan materialistik semata-mata, yang akan menjadikan nagara atau negeri kita ini secara khususnya dalam keadaan kacau bilau serta huru hara.

“Jadi saya melihat kerajaan yang ada ini mengadakan banyak program seperti BPIS ini, Madinah Ramadhan, ‘street dakwah’, ceramah agama di masjid, surau, perkarangan premis kerajaan dan sebagainya yang seringkali dianjurkan merupakan suatu usaha yang sangat baik dan mesti diteruskan dari semasa ke semasa, bagi saya banyak perubahan yang telah dilakukan bertepatan dengan moto Maju, Berkat dan Sejahtera,” ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pasaraya Mydin Mall Kuala Terengganu, sebagai mengulas kempen BPIS yang diadakan Mydin Mall Kuala Terengganu, semalam.

Dalam program berkenaan, Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah bersama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT) dan UPDI itu telah turun mendekati orang ramai di pasar raya bagi menghebahkan mengenai kepentingan solat.

Sementara itu, seorang peniaga di tapak jualan pasar raya Mydin, Noraini Othman, 45, berpandangan usaha dilakukan kerajaan itu merupakan suatu perkara yang sangat baik dalam memastikan rakyat di negeri ini tidak memandang ringan akan kewajipan mendirikan tiang agama itu.

“Jadi ia sangat baik untuk rakyat negeri ini apabila berkunjung ke mana-mana pasar raya sekalipun jangan sampai leka sehingga mengabaikan tanggungjawab penting ini, contohnya di Mydin ini apabila masuknya azan, segala aktiviti akan dihentikan untuk beroperasi.

“Berhenti apabila kedengaran azan, adalah lebih baik apabila diberi kesempatan seperti itu maka setiap orang ambil kesempatan untuk segera menunaikan solat, saya rasa dengan dakwah secara berterusan daripada pihak kerajaan ini maka rakyat akan terdidik untuk mengamalkan solat awal waktu secara berjemaah tambahan pula ada kemudahan surau disediakan.

“Perkara ini sudah pasti akan dapat dilaksanakan apabila timbulnya kesedaran dalam diri setiap rakyat, agar di mana sahaja berada, walau sibuk melakukan pelbagai aktiviti, apabila masuknya waktu solat maka perlu diutamakannnya, jadi saya melihat ini suatu usaha yang sangat baik,” ujarnya lagi.