Home Berita PAS Terengganu

Kadar kompaun kesalahan parkir kereta turun 90 peratus

109
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri bersetuju meneruskan pelaksanaan Smart Besut dengan beberapa penambahbaikan termasuk menurunkan kadar kompaun maksimum kesalahan tempat letak kereta (TLK) di daerah berkenaan daripada RM300 kepada RM30.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini A Rahman, berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini dan terpakai sehingga ketetapan baru diumumkan nanti.

Katanya, Majlis Daerah Besut (MDB) menswastakan sebanyak 2,802 petak TLK di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, Kuala Besut dan Kota Putera.

“Kadar bayaran ditetapkan adalah sebanyak 60 sen untuk tempoh satu jam dan tambahan 30 sen untuk tempoh setengah jam.

“Kadar kompaun atas kesalahan TLK dikenakan syarikat itu adalah sebanyak RM300 dan menimbulkan keresahan dalam kalangan pemilik kenderaan, jadi hari ini kita bersetuju dan meminta MDB serta syarikat berkaitan untuk menurunkan kadar kompaun maksimum RM300 kepada RM30,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media berkaitan Smart Besut di tingkat 5, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menurut Mohd Nurkhuzaini, pihaknya juga telah meminta pihak konsesi mencetak kupon gores letak kereta dan hanya dijual kepada pengguna berumur 55 tahun ke atas yang mempunyai kesukaran menggunakan sistem tersebut.

“Ini bagi memudahkan golongan warga emas yang tidak mesra dengan aplikasi menggunakan perkhidmatan itu.

“Kita juga akan meningkatkan penerangan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk setiap jumaat sebelum khutbah di masjid-masjid dan membuka kaunter untuk soal jawab sekiranya perlu,” ujarnya.

Tambah Mohd Nurkhuzaini, beliau mengalukan cadangan daripada orang ramai untuk meningkatkan keupayaan penggunaan sistem tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat 13 isu berbangkit melibatkan Smart Besut telah dikenalpasti dan satu perbincangan antara pihak konsesi serta MDB diadakan semalam untuk mendapatkan satu penyelesaian terbaik bagi semua pihak.

Terdahulu, bermula November 2021, Majlis Daerah Besut dengan usahasama Syarikat First Parking telah menggunakan Sistem Tempat Letak Kereta Pintar Smart Besut yang telah dimuat turun oleh 19,638 pengguna.