MARANG – Seramai 16 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian di Paya Kolam Marang bersyukur dan gembira apabila kerajaan PAS Terengganu mengembalikan semula tanah rakyat yang pernah dirampas oleh pentadbiran terdahulu.
Seorang peserta, Mamat Embong, 63, berkata langkah kerajaan penyelesaian itu juga membuktikan bahawa kerajaan komited untuk menunaikan manifesto dan tidak hanya sekadar berjanji manis.
“Kami selama ini pernah dinafikan hak bagi memiliki tanah, namun hari ini kami sangat gembira dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman, kami memperolehi borang 5A penantian selama 30 tahun bagi memiliki geran bagi tanah yang saya usahakan ini akan tercapai.
“Hanya tinggal untuk menyelesaikan bayaran premium tanah sebanyak RM 5,900 iaitu 10 peratus daripada harga sebenar. Kalau ikutkan hari ini saya hendak bayar, duit pun telah dibawa, dengan penyelesaian ini berakhirlah kemelut yang saya hadapi.
“Dahulu saya menanam pokok durian, manggis dan hampir untuk diberkan geran pada penggal pemerintahan kerajaan PAS pada tahun 1999-2004, tapi apabila bertukar kerajaan, ada pihak yang besar kepala menafikan hak yang sepatutnya diperolehi penduduk,” ujarnya.
Mamat berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima suratan hak milik tersebut, di Majlis Penyerahan Borang 5A bagi RTB tersebut di Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Ketom, di sini, pada hari ini.
Majlis yang disempurnakan perasmiannya Ariffin Deraman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri itu turut dihadiri Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat, Penghulu Mukim Alur Limbat, Zafri Zaki dan Ketua Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN tersebut, Ahmad Maarof Ismail.
Seorang peserta lagi, Zakaria Abu Bakar, 55, turut berkongsi kegembiraan dengan menerima suratan hak milik yang telah ditunggu sekian lama.
“Saya berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan ini saya sangat berterima kasih sangat terharu apabila mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan sekarang tidak disia-siakan sebaliknya menghadirkan suatu kegembiraan buat kami semua.
“Insya-Allah saya sebagaimana yang lain, akan menyegerakan bayaran premium tanah ini untuk mendapatkan geran tanah kekal, dan saya akan mengusahakan tanah ini dengan sebaik mungkin, terima kasih kerajaan Terengganu,” katanya.
Dalam pada itu, Ariffin berkata penyelesaian tanah di DUN berkenaan merupakan kejayaan pertama di kawasan tersebut dalam isu berkaitan RTB memandangkan usaha mendapatkan tanah sangat terhad.
“Walaupun manifesto kerajaan adalah mengembalikan semula tanah dan ingin memberi kepada semua pemohon yang mahu memilikinya namun di sini kita menghadapi masalah sebagaimana yang dihadapi oleh daerah Kuala Terengganu iaitu kekurangan tanah untuk diberikan kerpada rakyat.
“Untuk itu antara penyelesaiannya kita sedang berbincang dengan DUN lain dalam parlimen Marang ini untuk turut menyediakan kuota-kuota kepada penduduk di sini.
“Didapati di DUN Rhu Rendang dan juga Pengkalan Berangan masih memiliki banyak tanah untuk diangkat menjadi RTB. Kita akan berusaha untuk memastikan seramai mungkin akan dapat memiliki tanah terutamanya yang diistilah sebagai peserta terkilan.
“Hari ini yang menerima seramai 16 orang, diikutkan masih ada lagi yang belum menerimanya dan belum diselesaikan. kami cuba untuk menjejaki mereka ini, sesetengah mereka ada yang telah memiliki tanah, ada yang tidak menyimpan resit untuk dijadikan sebagai bukti pernah menerima tanah tersebut, jadi ini suatu hal yang sedang kita fikirkan untuk mencari solusi yang terbaik,” ujarnya.
Dalam memenuhi kehendak rakyat, beliau turut berharap RTB Tiruk juga akan dapat disegerakan kelulusannya pada tahun ini, ia melibatkan hampir 70 lot tanah untuk diberikan kepada penduduk di DUN terbabit.
“KIta harap dapat diberikan dengan kadar seberapa segera dan ada juga RTB yang sedang kita lihat dan mencari, setakat ini ada empat RTB yang akan kita segerakan proses pemberiaanya,” ujarnya.