Oleh: HASLILAWATI ABDULLAH
KUALA KRAU, 12 Feb :: Tiga NGO iaitu Jabatan Amal Kuala Krau, Khidmat Malaysia Pahang dan Tuntas Prihatin dengan kerjasama Pejabat Menteri Alam Sekitar Dan Air telah menganjurkan Bengkel Membaiki Mesin Basuh di Dewan Darul Hikmah, Kerdau, hari ini.
Seramai 30 orang peserta sekitar Kuala Krau hadir bagi mempelajari kaedah membaiki mesin basuh dan peti sejuk di bawah tunjuk ajar Khairul Fazli Tohfah dari pasukan Abam’s Group Abu Ammar Service.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Jengka, YB Ustaz Shahril Azman Abdul Hamid, peserta yang menghadiri bengkel ini bukan sahaja didedahkan dengan ilmu membaiki mesin basuh tetapi turut berpeluang menambah pendapatan keluarga dengan kemahiran yang diberikan dengan percuma.
Menurutnya lagi, sebagai salah satu badan yang memberi pertolongan kebajikan khususnya ketika masyarakat ditimpa musibah banjir, tawaran khidmat percuma membaiki mesin basuh ini bakal diganjari pahala besar oleh Allah SWT.
Bengkel tersebut telah dirasmikan oleh menteri di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Di dalam ucapannya beliau merasa amat berbangga kerana bengkel sebegitu bukan sahaja mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai di luar dan di dalam Pahang, tetapi juga telah melahirkan usahawan-usahawan yang berjaya di kalangan anak muda di samping yang telah berusia.
“Sifat kemahiran ni, lagi banyak kita urus, lagi banyak kita dapat pengalaman baru. Ia berbeza dengan pendidikan dalam kelas.
“Ada anak-anak kita yang tuhan bagi IQ dia agak baik, agak tinggi. Bila masuk kelas, dia boleh cemerlang dalam akademik.
“Tapi di kalangan kita ada yang tuhan bagi kemahiran dalam teknikal, maka dia juga berjaya bahkan kadang-kadang kita dapati kejayaan seseorang itu tidak terletak pada status akademik sahaja,” ujar Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS.
Beliau turut memberi perbandingan bahawa tidak semestinya orang yang menuntut ilmu sehingga ke menara gading lebih berjaya berbanding orang yang tidak bersekolah tinggi.
“Ada orang belajar ke universiti sampai PHD, tapi tak dapat kerja sampai ke hari ni. Dalam pada itu ada pula yang tak pernah ke sekolah pun, tapi hebat jadi jutawan kerana peluang tuhan bagi rezeki ini terbuka.
“Orang ada ilmu, tuhan salur rezeki melalui ilmu, orang ada kemahiran melalui kemahiran, orang ada kepakaran tertentu, tuhan bagi melalui kepakarannya. Rezeki Allah yang amat luas Allah buka seluas-luasnya. Kita minta kepada Allah Taala Yang Maha Berkat beri kita rezeki yang berkat,” ulas Tuan Ibrahim.
Harapan beliau semua usahawan program ini akan memperolehi kejayaan dan sedaya upaya berusaha memberi perkhidmatan service terbaik, cepat dan ‘manis mulut’ kepada pelanggan dengan tidak mengetepikan kewajipan hakiki ibadah kepada Allah serta bekerja untuk jemaah.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pemuda PAS Negeri Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan.
Urusetia program adalah PAS Kawasan Kuala Krau dan kawasan itu merupakan lokasi keempat penganjuran bengkel sedemikian.