Oleh : Siti Aseelah Mohd Noor
TELUK INTAN, Lajnah Ekonomi PAS Kawasan Teluk Intan telah menganjurkan program ‘BMF’ atau ‘Buy Muslim First’ bertempat di Dewan Wak Johar Kompleks PAS Teluk Intan di sini baru-baru ini.
Menurut Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Teluk Intan Mohamed Hamzah, program yang julung-julung kali diadakan ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat agar mengutamakan produk tempatan ketika melakukan jual beli seharian.
“Umat Islam bukan sahaja perlu maju daripada aspek politik malah perlu memperkukuhkan sektor ekonomi demi kelangsungan sebuah negara Islam,” ujar Mohamed Hamzah ketika menyampaikan ucapan aluan pada program tersebut.
Program yang dilaksanakan usai solat Isyak turut dimeriahkan lagi dengan majlis ilmu dan taujihat daripada Mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak, Tuan Guru Sidek Noor.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan perlunya bagi setiap Muslim agar berhati-hati dalam memilih barang keperluan berupa makanan atau selainnya kerana ianya akan menjadi darah daging yang boleh menyebabkan segala amalan kita tertolak dan tidak diterima Allah SWT.
Antara gerai yang turut sama mempromosikan produk keluaran mereka adalah seperti gerai ‘Era Edar’, ‘Abang Madu’, Lajnah Ekonomi Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Teluk Intan dan pelbagai lagi.
Turut hadir Mantan Yang Dipertua PAS Teluk Intan, Ismail Che’ Nik, Pengerusi Lajnah Ekonomi DMPK Teluk Intan, Siti Khatijah Ibrahim serta ahli jawatankuasa yang lain.