Home Rencana PAS Johor

Politik Islam : Matlamat tidak menghalalkan cara

970
SHARE

Firman Allah S.W.T :

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُوْنُوْا قَوَّامِيْنَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاۤءَ لِلّٰهِ وَلَوْ عَلٰٓى اَنْفُسِكُمْ اَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْاَقْرَبِيْنَ ۚ اِنْ يَّكُنْ غَنِيًّا اَوْ فَقِيْرًا فَاللّٰهُ اَوْلٰى بِهِمَاۗ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوٰٓى اَنْ تَعْدِلُوْا ۚ وَاِنْ تَلْوٗٓا اَوْ تُعْرِضُوْا فَاِنَّ اللّٰهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُوْنَ خَبِيْرًا

Mafhumnya : “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu. (Sama ada) jika dia (yang didakwa) kaya atau pun miskin, maka Allah lebih utama dengan kedua-duanya (Allah S.W.T Maha Mengetahui kebenaran dan apa yang lebih baik). Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbelitkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka (ketahuilah) Allah Maha Terperinci dan Teliti Pengetahuan-Nya terhadap segala apa yang kamu lakukan”.

Surah An-Nisa’ : 135

Ayat ini menjelaskan kepada kita konsep amalan dan tindakan hendaklah selari dengan niat. Niat yang baik hendaklah direalisasikan dengan tindakan yang baik. Tiada kelonggaran untuk melakukan tindakan yang menyalahi peraturan dengan niat yang baik. Niat dan matlamat tidak menghalalkan cara.

Sebagai contoh, Islam tidak mengiktiraf amalan sedekah yang dilakukan menggunakan harta orang lain tanpa kerelaan daripada pemiliknya terlebih dahulu.

Islam mengharamkan rasuah, penyalahgunaan kuasa, meletakkan kepentingan diri melebihi kepentingan umum dan pelbagai lagi.

Islam juga melarang perbuatan keji seperti fitnah memfitnah, dengki mendengki dan permusuhan. Kadang-kadang fitnah dicanang semata-mata untuk menjatuhkan reputasi seseorang dan mewujudkan persepsi yang buruk terhadap individu tersebut.

Islam memerintahkan umatnya berlaku adil terhadap semua pihak sekalipun mereka adalah musuh kita.

Kaedah dan ketetapan ini telah disebut oleh para Ulamak dan Fuqaha sebagai :

“الوسائل تتبع المقاصد في أحكامها”

Mafhumnya : Segala wasilah atau cara hendaklah mengikut hukum matlamat yang ditetapkan.

Ini bererti matlamat sesuatu perkara itu tidak menghalalkan cara. Dalam erti kata lain sesuatu matlamat yang baik hendaklah dijayakan dengan cara yang betul dan menepati kehendak Syarak. Dilarang sama sekali sesuatu matlamat yang baik menggunakan cara yang tidak benar.

Namun realiti yang berlaku adalah sebaliknya. Kita dapat melihat bagaimana budaya politik kotor fitnah memfitnah menjadi perkara biasa dalam masyarakat siber tanpa memikirkan dosa dan pahala. Sedangkan Islam melarang keras amalan fitnah memfitnah bahkan meletakkan dosa memfitnah lebih besar daripada membunuh.

Justeru PAS Johor menyeru semua pihak agar mewujudkan sikap hormat menghormati dan mengelakkan daripada budaya fitnah memfitnah semata-mata ingin mendapatkan laba politik dan kepentingan lainnya.

Amalkan budaya politik secara matang dan sejahtera agar keharmonian dan kemakmuran negara terus terjamin demi kesejahteraan negara dan tanahair tercinta.

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan
PAS Negeri Johor.