Oleh: Siti Aseelah Mohd Noor
TELUK INTAN, Lajnah Alam Sekitar (LATAS), Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Teluk Intan berjaya melaksanakan program kitar semula minyak masak di perkarangan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ibnu Sina, Kampung Padang Tembak, di sini baru-baru ini.
Kempen yang di gerakkan promosinya melalui ‘facebook’ DMPK Teluk Intan sejak sebulan lalu bertujuan untuk menyedarkan masyarakat agar menghargai alam sekitar dengan mengamalkan konsep kitar semula bermula dengan minyak masak terpakai.
Sambutan yang sanggat menggalakkan diterima daripada masyarakat setempat dan telah berjaya mengumpulkan sebanyak 173 kilogram minyak masak terpakai dengan setiap 1 kilogram dijual pada harga RM1.00.
“Minyak masak terpakai dikumpulkan di setiap cawangan sebelum kemudiannya dihantar ke pusat pengumpulan kawasan untuk ditimbang dan direkodkan bagi tujuan pembayaran kepada ahli cawangan yang menyertai.
“Walaupun ini merupakan program yang pertama kali diperkenalkan namun penyertaannya amat menggalakkan. InsyaAllah akan diteruskan penganjurannya lagi pada masa akan datang,” ujar Pengerusi LATAS DMPK Teluk Intan, Siti Aminah Jamhari.
Turut hadir, Ketua Muslimat, Robi’aton Mohd Abas, Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan merangkap Timbalan Ketua Muslimat, Hamisah Abas, Setiausaha Muslimat, Saadah Abas dan ahli jawatankuasa yang lain.