Home Berita PAS Pulau Pinang

PAS Balik Pulau tolak projek pembinaan asrama pekerja asing

209
SHARE

BALIK PULAU, 5 FEBRUARI – PAS Balik Pulau menolak cadangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina tiga buah asrama pekerja asing di sekitar Teluk Kumbar. Pendirian PAS Balik Pulau selari dengan kenyataan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff baru-baru ini menolak projek pembinaan asrama pekerja asing.

Projek yang membabitkan tiga kawasan iaitu sekitar Bandar Baru Perda Teluk Kumbar, Bagan Teluk Kumbar dan Sungai Batu. Sekiranya dilaksanakan dianggar seramai 35,000 pekerja warga asing akan ditempatkan di ketiga-tiga kawasan terbabit dan menjangkakan setiap lokasi akan dimuatkan lebih 10,000 pekerja asing mengikut keluasan tapak. Kelulusan projek ini akan memberi kesesakan lalu lintas kedua-dua hala dari Teluk Kumbar menuju ke Bayan Lepas atau sebaliknya terutamanya diwaktu kemuncak.

Projek yang diluluskan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang ini dilihat hanya menyebelahi pekerja asing manakala di pihak penduduk awam setempat ia merupakan satu projek yang tidak bermanfaat dan mendatangkan kesusahan buat seluruh penduduk setempat. Turut akan terkesan ialah penduduk di kawasan Balik Pulau yang menggunakan jalan utama Teluk Kumbar menuju ke Bayan Lepas untuk bekerja.

Oleh yang demikian PAS Balik Pulau ingin menegaskan akan bersama-sama dengan penduduk setempat bagi menyatakan bantahan dan penolakan terhadap projek ini serta memperingati Kerajaan negeri Pulau Pinang supaya membatalkan projek ini.