HULU LANGAT – Anak rantau dari negeri Terengganu digesa agar lebih aktif menyertai segala program dan aktiviti yang dilakukan oleh Sekretariat Kepimpinan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU).
Setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) tersebut, Awasi Mohamad berkata, melalui penyertaan program yang dianjurkan oleh persatuan tersebut, segala maklumat berkenaan insentif bantuan daripada kerajaan kepada rakyat dari negeri ini yang berada di perantauan akan diperolehi.
“Kita sentiasa menganjurkan perjumpaan dengan mengadakan pelbagai program sosial, sukan dan melaluinya perkembangan semasa mengenai kerajaan negeri disampaikan.
“Apabila bertemu kita akan dapat maklumat untuk disimpan jika berlaku apa-apa permasalahan, dalam masa yang sama memelihara kebajikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni rakyat Terengganu di Selangor yang terkesan banjir baru-baru ini, di sini, semalam
Beliau mewakili anak-anak rantau telah dikunjungi oleh rombongan kerajaan negeri yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat turun padang bagi menyantuni mereka yang terkesan banjir secara mobil.
Dalam pada itu, Awasi berkata dengan menyertai persatuan PERANTAU juga memberi peluang anak negeri mengemukakan cadangan dan permasalahan untuk disalurkan kepada kerajaan negeri.
“Saya juga mahu mencadangkan agar Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di setiap kampung menyalurkan maklumat mengenai anak-anak Terengganu yang berada di perantauan dengan menghantar senarai nama kepada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (PKMD) masing-masing.
“Tujuannya, agar segala maklumat terbaru mengenai rakyat Terengganu yang berada di luar ini dapat kita perolehi.
“Sehingga kini, seramai 2,000 lebih yang aktif menyertai persatuan ini di negeri Selangor dan kita mengharapkan di masa akan datang akan lebih ramai menyertainya agar segala insentif ditawarkan kerajaan akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.